Friday, May 29, 2009

PERBAIKI AKHLAQ DI HADAPAN ALLAH ; HAMBA YANG SOLEH/ SOLEHAH.

Sematkan angan

Hingga mencapai bintang keberkatan.

Jadikanlah kedipan kelopak matamu

Dalam kerdipan murah hati.

Bila hati meragu, segera jelaskan kepadaNYa

Bahawa di gugusan galaksi

Sinar terang menerpa pagi

Bersiaplah

Menghadapi waktu Dhuha selanjutnya


Allah berfirman yang bermaksud : “Wa ma Khalaqtul Jinna wal Insa illa liya’budun”

Bermaksud : Tidak Aku jadikan Jin dan manusia itu adalah melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Ku.



Sewajibnya kita ucap syukur dan puji pada Allah dengan segala nikmatNya. Kita diciptakan untuk beribadat kepada Allah dengan sumbangan pemberian nikmat anggota badan . Ibadah adalah satu konsep kehambaan kepada al-khalik. Sesiapa yang berbuat ibadah bermakna dia memperhambakan dirinya kepada Allah. Apa erti hamba? Hamba beerti tunduk. Allah perintahkan segala alam ini tunduk mengikut peraturanNya. Allah jadikan langit tanpa tiang itu dengan arahan tidak boleh jatuh timpa bumi maka tunduk dan patuhnya langit pada Allah tidak jatuh ia. Apa erti hamba? Hamba itu ialah merendah diri. Jika kita berdoa kepada Allah kita perlu pastikan nada kita memohon dan meminta itu bukan nada menyuruh atau mengarah. Ini kerana adab kita dengan Allah ibarat hamba dengan tuannya. Apabila ‘tuan’nya tidak perkenan permintaan tersebut, janganlah si hamba menaikkan suaranya itu melebihi nada meminta sehingga jelas sikap kurang sopan kepada tuannya. Begitulah juga sikap kita sebagai hamba kepada Pencipta, perlu lebih beradab denganNya. Jadilah hamba yang soleh disisi Allah.


Kata ulamak ciri-ciri orang soleh jelas terbahagi kepada 4ciri :

1. SOLEH PADA DIRI

Seseorang yang soleh pada diri akan menjaga hak diri sendiri. Lebih menekankan dari aspek hubungannya dengan Allah. Dari soal niat dihatinya sehinggalah dia terjemahkan dalam segala tindakannya. Diri yang soleh pada diri ialah Kata Imam Haris Al-Muhasibi : Tegakkan daulah islamiah di dalam hati kamu, maka akan tertegak di atas muka bumi kamu.

Rasa rindu bila nantikan saat penuh manis bersama Pencipta. Getus hatinya 'Muwajjahah antara Dia dan aku'. Hati merindu tanda diri menuntut haknya.



2) SOLEH PADA KELUARGA

Keluarga adalah institusi terpenting dalam membina fikrah islamiah. Berusaha untuk menyelamatkan ahli keluarga dari lubang neraka Allah. Itulah suruhan Allah yang berbunyi 'Quu anfusikum wa ahliikom naara'. Jika masih ada dari keluarga kita yang belum lepas mengenaii Fardhu Ain maka kita sewajibnya mengajarkan mereka. Jika kita tidak mampu, gunakanlah duit dan harta kita untuk dibelanjakan belajar dengan baik.


Jika masih ada yang masih belum kenal akan islam yang hakiki, fahamilah mereka dengan sebenarnya. Anjurkan mereka mengikuti pengajian, kuliah atau usrah yang boleh memahamkan mereka tentang hakikat sebenarnya Islam itu. Bukankah islam itu adalah cara hidup. Keluarga yang menitikberatkan soal agama inilah keluarga yag diberkati oleh Allah. Jika mereka tidak mampu untuk mengikutinya, selayaknya kita adakan hari keluarga untuk kita tentatifkan pengisian-pengisian islam yang berguna untuk mereka. Semuanya ini akan terhasil apabila kita sudah nampak apa yang perlu dikehadapankan.


Biah solehah perlu dicetuskan dalam keluarga. Di dinding-dinding rumah ada dilekatkan doa-doa khusus. Doa masuk tandas, doa memakai pakaian, doa keluar rumah, doa masuk rumah. Adab-adab pemakaian dalam rumah juga perlu dipraktikkan. Jika ada tetamu yang datang bagaimana pemakaian yang sesuai untuk dipakai. Batas-batas aurat juga perlu diketengahkan supaya mereka takut akan azab Allah yang maha dasyat. Semuanya ini adalah biah solehah yang perlu disempurnakan oleh semua muslim. Sesungguhnya bagi mencapai Daulah islamiah tertegak di bumi Malaysia ini sewajibnya institusi keluarga berperanan. Demikianlah peringkat yang kedua yang disebut oleh al-Imam Hasan Albanna iaitu 'usratul muslimah' sebagai peringkat kedua maratibul a'mal kearah membentuk Daulah Islamiah!!

Seorang lelaki yang ada keluarga dia tidak terlepas dari dipertanggungjawabkan oleh Allah kepadanya melainkan 4orang.

Lelaki akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak akan 4 orang yag lain selain dirinya sendiri :
1) Isterinya
2) Anak perempuannya
3) Adik beradik perempuannya (saya terlepas sebab saya takde adk bradik perempuan)
4) Ibunya

Fikir-fikirkanlah. Sudahlah dosa kita tinggi menggunung, ahli keluarga kita yang lain pula yang perlu kita tanggung. Jika tidak mahu demikian, jagalah betul-betul ahli keluarga kita lebih-lebih lagi ahli keluarga yang perempuan. Mereka perlu dijaga dan dikawal dalam setiap tindakan mereka supaya mengikut lunas-lunas agama. Mereka takkan lurus jika kita tidak lurus. Kitalah imam dalam keluarga!


3. SOLEH PADA MASYARAKAT

Soleh pada masyarakat juga tidak boleh diabaikan. Selepas mana membentuk diri muslim dan peringkat membina keluarga muslim maka seterusnya membina masyarakat muslim. Itulah dia tiga peringkat yang disebut oleh al-Imam Hassan Al-Banna ke arah membina Daulah Islamiah.

Berbuat baik pada jiran, sentiasa menjaga hati jiran, berbaik sangka pada jiran ialah sebagai tuntutan agama. Sabda nabi "Barangsiapa yang menyakiti jirannya maka dia menyakiti aku, barangsiapa yang menyakiti aku maka dia menyakiti Allah",Sabda nabi lagi 'Berbuat baiklah dengan orang-orang tetanggamu, maka kamu aan jadi orang yang mukmin ' .

Kata al-Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin :

Tahukah kamu apakah hak seorang tetanggamu itu? Jika dia meminta tolong hendaklah kamu menolongnya. Jika dia dalam kesusahan hendaklah kamu bermurah hati kepadanya. Jika dia sakit maka hendaklah kamu menjenguknya. Jika dia mati hendaklah kamu menghantar jenazahnya. Jika dia mendapat kebaikan hendaklah kamu turut bergembira bersamanya. Jika dia mendapat kesusahan hendaklah kamu ikut merasakan kesusahannya.


Menyedarkan masyarakat peripentingnya kesatuan yang membentuk satu jamaah yang syumul. Mengajak supaya sentiasa memenuhi majlis-majlis ilmu. Bekalan iman yang kukuh dalam persediaan bertemu dengan Allah kelak jiwa yang salim. Sedarkan jiran dan masyarkat agar bersama dengan kepimpinan ulamak. Menyokong dan mendokong jemaah islam yang menjadikan islam sebagai perjuangannya.


4) SOLEH PADA MAKHLUK-MAKHLUK YANG LAINNYA.


Orang soleh akan sentiasa menyantuni makhluk-makhluk lain. Sesungguhnya makhluk yang selain dari manusia itu sentiasa memuji dan berzikir kepada Allah. Apabila dia dapati seekor semut melata diatas badannya, dia berhati-hati mengibas semut itu daripada terbunuh oleh tangannya. Apabila dia mengambil air sembahyang dia pastikan air yang dibuka dari paip itu tidak terlalu deras, cukup hanya mengalirkan air itu dengan perlahan. Apabila dia membuka pintu rumah, dia menyantuni orang yang berada didalam rumah tersebut dan tidak membuka dengan kakinya.

Apabila dia memasuki hutan, dia tidak bermudah-mudah untuk mematahkan pohon dan ranting kayu yang hidup, dan tidak pula mencantas-cantas daunan tanpa hajat. Dia meyakini bahawa semua makhluk Allah itu ada penghuninya dan ada penjaganya. Diberitakan oleh tuan guru kami setiap daunan pohon itu dijaga oleh 70 malaikat. Subhanallah. Lebih utama kita menyantuni makhluk-makhluk lain agar sentiasa memuji Allah.

Menyantuni makhluk-makhluk Allah ialah diantara perkara besar yang Allah ganjarkan. Hadis Nabi menyebut 'Sebesar-besar ibadah kepada Allah ada 3 perkara':
1) Ingat pada Allah dalam setiap keadaan.
2) Memberi insaf kepada manusia antara satu sama lain.
3) Menyantuni sesama ikhwan(makhluk lain juga ikhwan bagi kita).


KESIMPULANNYA

Sungguhpun dosa kita menggunung, dosa bak buih dilautan tak terkira banyaknya, tapi janganlah dengan sebab dosa tersebut kita tersekat dengan istiqomah beribadah pada Allah.

Kata Ibnu 'Athoillah as-sakandari menyebut :

Apabila anda tertimpa satu dosa, janganlah dosa itu menjadi sebabnya berputus asa anda dari mendapatkan istiqamah (terus-menerus dan asyik) menghadap Tuhan. Boleh jadi dosa itu merupakan dosa yang terakhir yang ditentukan buat anda.


Beramallah dengan hati yang ikhlas. Semata-mata mengharap redhoNya.

Jadilah orang yang soleh/solehah pada Allah...!!


.

No comments: