Wednesday, May 16, 2007

Menuding akhirnya ke batang hidung sendiri..!!

Tarbiah merupakan salah satu asas yang terpenting dalam membina kekuatan dan juga ketahanan bagi seorang pendakwah islam atau lebih dikenali sebagai Da'ie. Tarbiah juga seringkali dikaitkan dengan pengorbanan dan juga pengetahuan. Di dalam perlajanan tarbiah kadang-kadang tersasar dari peraturan dan perancagan yang sebenar. Lain yang dibuatnya lain yang jadi!!! Sebab itulah dalam pentarbiahan harus punyai strategi dan planning yang cukup mapan dalam memastikan tarbiah yang diaturkan dapat direalisasikan dan dikategorikan sebagai berjaya, 'planning successfully' atau 'mission accomplish'.

Di dalam konteks persatuan kita sebagai Persekutuan yang menaungi pelajar-pelajar di perlembahan Nil ini, maka PMRAM juga mempunyai program tarbiahnya yang tersendiri. Pelbagai program yang diaturkan demi membentuk jiwa-jiwa dai'e agar terus gagah dan kental dengan ujian yang mendatang. Diantara tarbiah yang dibina oleh PMRAM ialah pembentukan USRAH atau Muzakarah berkelompok.

Realiti hari ini, ramai yang menuding jari ke arah PMRAM dengan mengatakan bahawa usrah yang dibawa oleh PMRAM tidak mampu membentuk ahli-ahlinya. Pertanyaan disini ialah, bagaimana yang dikatakan "tidak mampu membentuk" tersebut? Dari sudut apa yang dikatakan itu? Bagaimana membolehkan seseorang itu sanggup memberi kenyataan yang sedemikian?

Sebenarnya, inilah sikap kita yang selalu menuding jari kepada orang lain. Asalkan melihat sesuatu yang kurang setuju, maka terus menilai dengan mudah. Malah bersikap menuding jari telunjuk mengatakan, itu tak kena ini tak kena, akan tetapi dia tidak menyedari masih ada jari lain yang sedang me'nuding' kearah dirinya!!!

Tindakan kita
Dari semasa ke semasa kita memperbahurui rentak kita dalam mentarbiah generasi ini dalam memastikan perancangan kita berjaya mencapai hadafnya. Apabila kita dapat mengesan ada kelemahan yang kita buat, maka kita perlu perbetulkan. Akan tetapi masalahnya ada golongn parasit yang menuding kearah kita dan pada masa yang sama tidak menghadirkan diri untuk membantu. Pmram sebagai persatuan yang memberi kebajikan dan juga banyak mnyelesaikan masalah ahli semestinya ada sedikit-sebanyak kekurangan yang pmram tempuhi. Saya menganggap bahawa, golongan parasit ini adalah diantara golongan yang hanya melihat pentarbiahan sahaja daripada aspek-aspek lain. Aspek-aspek tersebut ialah soal kebajikan, soal permasalahan ahli dan soal pembentukan thaqafah. Dan jika dilihat semula, tarbiah ini disebut sebagai perkatan yang cukup umum yang memerlukan kepada perincian yang sebenar. Cuma disini yang boleh saya simpulkan ialah, golongan yang hanya tidak mahu hadirkan diri dalam membantu survivor pmram dianggap pemecahbelah masyarakat pelajar.

Maka dengan ini, saya agak kurang senang kalau ada yag mengatakan usrah PMRAM tak sehebat persatuan lain, tapi mereka tidak sedar apa yang mereka katakan itu adalah silap. Kita perlu bertanya kepada mereka, siapakah yang akan menghebatkan usrah PMRAM kalau bukan ahli PMRAM sendrii? Kalau kita tidak menyertai usrah PMRAM, bagaimana harus kita hebat kalau kita ayik menuding jari tak setuju tanpa hadir menghulurkan bantuan? Maka dengan ini terletak pd diri kita masing2.

Mungkin inilah yang dikatakan, manusia hanya mencari manfaat pada dirinya. Apabila perkara tersebut tidak berharga pada dirinya, maka dibuang begitu sahaja. Mereka ini saya anggap pembunuh persatuan, kalau soal keselamatan merekalah yang pertama hendakkan kad ahli PMRAm sebagai pengiktirafan kerajaan Mesir dalam aktiviti harian, kalau soal kebajikan merekalah yang pertama nakkan duit bagi menampung masalah yang dihadapi, tetapi merekalah juga orang yang pertama menolak pmram apabila melihat PMRAM ada 'sedikit' kelemahan. Nakkan keistimewaan bukan kelemahan. Mungkin golongan ini kita boleh namakan golongan 'parasit masyarakat pelajar' di bumi mesir ini.

Bangkitlah wahai pelajar azhariku, pelbagai perancangan telahpun diatur oleh pihak persatuan. Maka bagi kita untuk sama-sama mengorak langkah menuju kerah kejayaan tersebut dengan membantu apa yang telah diaturkan. Jika belum diatur, kitalah yang membantu atur, jika sudah teratur maka kitalah yang akan menyusun.

Manusia tidak ada apa-apa, semua Allah punya...

Sekian,

5rus_aljanianji

Saturday, May 05, 2007

Sedarkah kita,termakan duit RIBA?

CERMIN : APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN RIBA DALAM ISLAM?

Ust Zaharuddin (UZAR) :

Mudahnya riba boleh dibahagikan kepada dua (2) iaitu :-

1) Riba Ad-Duyun ( Muncul dari Hutang) : Iaitu kadar lebihan faedah (Riba) yang terhasil disebabkan tempoh. Ia pula terbahagi kepada dua (2) jenis, iaitu :-

a- Riba al-Qardh : Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan yang lebih dari jumlah pinjaman pokok yangmana ianya telah disyaratkan di awal kontrak pinjaman (loan contract), dikenakan oleh pemberi pinjam kepada peminjam.

b- Riba al-Jahiliyyah : Iaitu kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih dari jumlah pinjaman pokok yang dikenakan akibat si peminjam gagal membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan pada tempoh yang telah dipersetujui. Akibatnya si pemberi pinjam akan mengenakan kadar denda ke atas si peminjam kerana minta tangguh pembyaran hutang atau gagal membayar hutang dalam waktu yang ditetapkan.

2) Riba al-Buyu' (Muncul dari Jual Beli Barangan Ribawi) :

Keterangannya : Iaitu ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran dua item ribawi atau pertukarannya di buat secara tangguh. Ia pula terbahagi kepada dua (2) jenis iaitu :-

a- Riba An-Nasak : Iaitu berjual beli atau bertukar antara dua item Ribawi yang SAMA JENIS secara tangguh (tidak disempurnakan dalam satu masa).

Contohnya :- 5 gram emas di jual dengan harga RM200; atau RM3,800 dijual dengan harga USD1,000 secara tangguh

Riba akan muncul apabila transaksi di atas berlaku secara tangguh. Dalam konteks semasa, Riba akan berlaku apabila wanita masa kini membeli emas secara tangguh.

Ia adalah termasuk di dalam Riba An-Nasak.

b- Riba al-Fadhl : Iaitu berjual beli atau bertukar antara dua item Ribawi yang SAMA JENIS dengan berbeza kadar berat (jika dijual secara timbang) atau kuantitinya (jika dijual secara bilangan kuantiti). Contohnya : Menukar 5 gram emas (jenis 916 ) dengan 6 gram emas (jenis kualiti 750) : HARAM kerana sepatutnya kedua-duanya 5 gram.

CERMIN : ADAKAH BENAR RIBA HANYA TERDAPAT DALAM SISTEM PERBANKAN KONVESIONAL SAHAJA? BAGAIMANA PULA DENGAN SISTEM PERBANKAN ISLAM? APAKAH IA JUGA TURUT TERPENGARUH DENGAN UNSUR-UNSUR RIBA?

UZAR : Setakat yang diketahui dengan jelas, Riba sememangnya di amalkan secara berleluasa dalam perbankan konvensional, pinjaman along dan juga dalam semua institusi kewangan yang tidak mempunyai majlis penasihat Shariah.

Adapun Bank-bank Islam, setakat ini mereka telah mengubah semua kontrak atau aqad yang digunakan agar riba dapat dijauhi. Majlis penasihat Shariah di bank-bank ini berfungsi besar bagi memastikan tanda ‘halal' yang ada pada bank islam itu, benar atau tidak. Justeru, kesimpulan ringkas yang mampu saya buat adalah, tiada Riba di perbankan Islam. Bagaimanapun, riba masih boleh wujud secara senyap-senyap atau terangan di perbankan islam jika majlis penasihat Shariah dan pegawai Shariah di bank lalai dari tugasan mereka. Ataupun, ia boleh juga terjadi jika pihak pengurusan tidak sensitive dan mengabaikan nasihat penasihat Shariah.

CERMIN : DALAM SISTEM PERBANKAN SECARA UMUMNYA, BOLEH USTAZ JELAZKAN UNSUR-UNSUR RIBA YANG TERDAPAT DI DALAMNYA?

UZAR : Jawapan bagi soalan ini amat panjang, ringkasnya seperti berikut :-

PERTAMA : Riba dalam pinjaman. Apabila seorang pelanggan datang ke sebuah Bank Konvensional atau sebarang Institusi Kewangan yang tidak menawarkan produk Islam; lalu ingin membuat pinjaman untuk :-

  • a- Membeli kereta ( Car Loan )
  • b- Membeli rumah ( Home Loan )
  • c- Mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft )
  • d- Membeli mesin dan alatan untuk syarikat ( Hire Purchase Loan )
  • e- Membuat pinjaman peribadi ( Personal Loan )

Ketika itu, proses pinjam meminjam di antara kedua-dua pihak akan dibuat. Sebagai contoh di Bank Konvensional hari ini : atas permintaan si pelanggan B, Bank A memberi pinjaman RM 100,000 kepada pelanggan B, tetapi Bank menetapkan bunga atau faedah atau interest sebanyak 8 % daripada jumlah pinjaman itu ( RM 8,000) di bawah nama interest bagi membolehkan pelanggan mendapat wang yang diperlukan. 8 % ITULAH YANG DINAMAKAN RIBA AD-DUYUN JENIS AL-QARD .

KEDUA : Riba dalam Akaun simpanan dan pelaburan. Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-

  • 1) Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
  • 2) Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).

KETIGA : Riba dalam Kad Kredit

KEEMPAT : Riba Dalam Insuran Konvensional

KELIMA : Riba yang berlaku dalam jual beli barang kemas (emas) dengan secara ansuran

CERMIN : DALAM KONTEKS MALAYSIA JUGA, SEJAUHMANAKAH AMALAN PERBANKAN ISLAM DILAKSANAKAN MENURUT LUNAS-LUNAS SYARAK?

UZAR : Setakat ini, ia berjalan dengan baik di peringkat perbincangan oleh Majlis Penasihat Shariah dan kelulusan sesuatu konsep dalam produk perbankan itu, tetapi saya risau dan bimbang dengan implementasi dan pemantauan di kalangan pengamal perbankan. Ini adalah kerana tidak ramai anatara mereka yang memahami, justeru, kesilapan boleh dan amat mudah boleh berlaku akibat ketidakfahaman.

Sebagai contoh, kesilapan dalam menerangkan tentang sesuatu konsep Perbankan Islam kepada pelanggan. Kesilapan dalam tertib atau aturan menandatangani kontrak, kesilapan dalam menggunakan aset yang ingin ditransaksikan, iaitu apabila satu-satu aset digunakan untuk berpuluh-puluh kali teransaksi BBA sebagai contoh dan banyak lagi yang sukar untuk difahami oleh orang awam. Malah kebanyaka ahli perbanakan islam juga tidak memahaminya dan ia memerlukan penerangan yang panjang.

Perlu saya tegaskan bahawa, kekuatan dan ketelitian Shariah sesebuah perbankan Islam, adalah bergantung kuat kepada kesungguhan pelbagai pihak di dalam dan di luar bank. Antara pihak terpenting di dalam Bank adalah seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jabatan Pembangunan Produk, Penasihat Shariah dan Jabatan Shariah di dalam Bank. Kesemua mereka ini perlulah menjadi individu yang bertanggung jawab penuh dan bersungguh dalam melaksanakan konsep Shariah sebaik mungkin di dalam Bank. Tanpa kesungguhan ini, sesebuah Bank Islam atau Perbankan Islam sememangnya akan meniru produk konvensional tanpa penelitian khusus terhadap aspek implementasi dan Shariah.

Fakta terpenting yang perlu di fahami oleh orang ramai adalah, sistem perbankan Islam telah merubah perspektif hubungan antara pengguna atau penyimpan dengan bank. Hubungan di antara pelanggan dan Bank menurut Bank konvensional adalah atas kontrak pinjaman wang dengan bayaran faedah(interest) dikenakan atas jumlah pokok, ia mestilah di bayar oleh peminjam kepada Bank.

Manakala Bank-bank Islam telah menukar habis hubungan tidak sihat itu kepada kepada samada hubungan perkongsian (Musyarakah atau Mudarabah), atau penjual (Bank) dan pembeli (pelanggan). Unsur komitmen yang lahir atas hubungan ini pastinya akan merangsang dan memberi kesan prestasi yang memberangsang terhadap output perniagaan bank Islam dan ekonomi masyarakat.

Prinsip perkongsian yang digunakan dalam produk-produk pembiayaan juga dapat menawarkan kepada pelanggan jumlah untung hasil perkongisan dengan bank Islam. Tambahan pula, apabila klien mengalami kerugian, pihak bank Islam turut menanggung kerugian berdasarkan persetujuan perkongsian tersebut. Dalam tatacara ini, pembiayaan dihubungkan kepada proses produksi dan pertukaran bahan mentah dan aset. Seiringan dengan ini juga, Bank Islam turut menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak yang dipraktiskan secara langsung dan tidak langsung di dalam proses membuat keputusan yang berkaitan pelanggan. Justeru itu, perlaksanaan akhlak sebagai satu cabang Shariah yang penting berjaya dipatuhi.

CERMIN : APAKAH PANDANGAN ISLAM MENGENAI PENGAMAL-PENGAMAL RIBA? BOLEH USTAZ JELASKAN DALIL-DALIL QAT'IE YANG MENGHARAMKAN AMALAN RIBA?

UZAR :

Terlalu amat buruk, malah jauh lebih buruk dari dosa memakan seekor babi. Cuba lihat dalil-dalil ini :-

•a) Pemakan dan Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT : Ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, istisharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya" (Al-Baqarah : 278)

•b) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah SWT berfirman : Ertinya : "Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah" ( Al-Baqarah : 276 )

•c) Dibangkitkan seperti orang gila

Allah SWT berfirman ertinya : "orang-orang yang memakan riba tidak akan dibangkitkan (di hari kiamat) kecuali seperti orang gila yang disampuk oleh Syaitan" ( Al-Baqarah : 277)

•d) Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Nabi SAW bersabda : Ertinya : " Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.." (Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

•e) Allah melaknat pemberi dan penerima Riba

Nabi SAW bersabda : "Allah SWT melaknat sesiapa yang memberi dan menerima wang Riba" ( Muslim)

•f) Lebih Berat dari 36 Kali Zina.

Nabi SAW bersabda : Ertinya : "Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali" (Musnad Ahmad , 2/225 ; Ad-Dar Qutni, hlm 295 ; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103 )

•g) Salah satu dari Tujuh Dosa Terbesar

Ia berdasarkan hadith nabi SAW : Ertinya : "Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) " ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

CERMIN : Bagi memastikan diri tidak terjebak dalam amalan riba, apakah langkah-langkah tertentu yang boleh dikenal pasti?

UZAR : Langkah yang saya cadangkan adalah :-

•a- mempelajari ilmu asas tentang riba dan bentuknya dalam konteks semasa

•b- Menghadkan penggunaan semua urusan perbankan dengan bank-bank Islam sahaja. Setakat ini Malaysia mempunyai 10 buah bank Islam yang beroperasi secara sepenuhnya.

CERMIN : PADA PENGAMATAN USTAZ, SEJAUHMANAKAH PENGHAYATAN MASYARAKAT ISLAM,

KHUSUSNYA ORANG-ORANG MELAYU TERHADAP SISTEM PERBANKAN ISLAM?

UZAR : Kelihatan amat lemah dan kerap kali saya lihat mereka mengkritik perbankan islam sebagai

tidak melaksanakan undang-undang Islam dengan baik sebagai alasan untuk tidak menggunakan

perkhidmatannya. Telah ramai saya temui, individu melayu yang begini. Amat kreatif dalam

mengkritik tetapi kebanyakkannya tiada fakta yang di buat sembrono tanpa kefahaman.

Malangnya tindakan seperti ini menambah popular bank konvensional Riba.

Amat malang hari ini, kebanyakan orang ramai masih tidak dapat memahami sebaiknya perbezaan ketara antara produk dan perkhidmatan Perbankan Islam dengan produk yang di tawar Perbankan Konvensional. Masih ramai lagi yang menuding jari mengatakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam adalah cerminan produk konvensional, dengan hanya menukar sebutan ‘interest' atau ‘faedah' kepada nama-nama yang di seperti Kadar Untung, ‘Ujr, dan lain-lain istilah di dalam bahasa Arab yang sebenarnya hanyalah helah sahaja, kata mereka.

Sepatutnya, seseorang tidak boleh membuat kenyataan umum sedemikian rupa tanpa mengetahui selok belok dan operasi setiap bank Islam, jika tidak ia akan menjadi seperti laporan majalah antarabangsa yang meletakkan New York sebagai bandar paling berbudi bahasa, yang pada hakikatnya amat sukar untuk di terima.

CERMIN : AKHIR SEKALI, APAKAH NASIHAT DAN SARANAN USTAZ BERHUBUNG PERSOALAN RIBA DALAM URUSAN KEWANGAN HARI INI?

UZAR : Sedarilah besarnya dosa Riba, dan semaklah diri kita dan pengurusan kewangan kita sebaiknya. Untung di dunia tidak berguna jika siksa di alam barzakh dan akhirat yang amat panjang tempohnya.

Akhirnya, semua orang sepatutnya menahan diri dari membuat perbandingan di antara pengamalan dan produk Bank Islam dan Bank Konvensional. Perbandingan "apple to apple" adalah tidak wajar sama sekali, kerana ia ibarat membandingkan undang-undang dan displin di dalam permainan Bola Sepak dan Hoki. Walaupun kedua-kedua di atas padang tetapi ia beroperasi dengan konsep yang berbeza sepenuhnya.

Sekian

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Pelaburan internet: Malaysia di tangga teratas dunia!

Pelaburan internet: Malaysia di tangga teratas dunia!

Petikan Harakahdaily
Fri | Apr 13, 07 | 02:42:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Begitu terdesakkah para penduduk di negara ini? Atau akibat terhimpit dengan tekanan hidup yang makin mencengkam maka sebagai jalan mudah, segala ruang pelaburan tanpa mengkaji halal dan haramnya turut disertai secara sembrono?

Dahsyatnya bumiputra malaysia?!Mungkinkah atas pengaruh pengiklanan laman-laman web sebegini menyebabkan rata-rata rakyat Malaysia menceburi bidang pelaburan secara online? Mungkinkah juga, akibat dipengaruhi dengan gaya hidup mewah para pengusaha awal pelabur-pelabur internet, maka menyebabkan ramai yang berlumba-lumba untuk mencuba nasib?

Namun, walau apa pun alasannya, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam tetap mengharamkannya sebagai antara perniagaan yang melanggar hukum syarak.

Dan jika dilihat pula daripada analisa yang dihasilkan oleh alexa.com menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang teratas dalam senarai penglibatan rakyatnya dalam pelaburan internet jika dibandingkan negara-negara lain di dunia.

Kesian Orang Islam Malaysia

Statistik alexa mendapati Malaysia menduduki tempat tertinggi dengan jumlah lebih 90 peratus bagi pelaburan internet seperti Abfund.us, Empay, Buy ebarrels, Eaindex.com manakala bagi Swisscash.net berada dalam sekitar 60 peratus.

Sementara itu, hanya 10 peratus di kalangan pelabur internet seluruh dunia adalah terdiri daripada kalangan rakyat Singapura yang dikenali sebagai negara yang mantap ekonominya di Asia Tengara.

Bagi produk EmPay dan ebarrels, jumlah penglibatan rakyat Amerika Syarikat tidak sampai pun 1 peratus.

Mudah ditipu?

Kajian ini menimbulkan persoalan sama ada kebijaksanaan rakyat negara yang lebih arif dalam bidang ekonomi berbanding negara lain, jurang kemiskinan dan himpitan beban hidup yang tinggi atau rakyat Malaysia mudah ditipu walaupun didakwa pelaburan-pelaburan tersebut yang 'dilahirkan' di negara lain sedangkan di negara 'kelahiran' pelaburan-pelaburan tersebut tidak mendapat tempat di hati rakyatnya. - mks.

MUKA HADAPAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
14 APRIL 2007 OLEH RAMLI ABDUL KARIM dan HASANI HASSAN

KUALA LUMPUR 13 April - Skim-skim pelaburan Internet yang difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan semalam sebenarnya bukan berpangkalan di luar negara sebagaimana digembar-gemburkan, sebaliknya diuruskan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Siasatan Utusan Malaysia mendapati skim tersebut yang diuar-uarkan mendapat pengiktirafan di peringkat global, cuma beroperasi dari negara ini semata-mata.


Malah lebih malang lagi, maklumat dalam laman-laman web tersebut termasuk kononnya ia berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, offshore dan saham-saham lain juga adalah rekaan semata-mata.

Siasatan Utusan Malaysia yang dilakukan oleh pakar-pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mengesahkan bahawa hampir kesemua laman-laman web yang mendakwa sebagai menyediakan pulangan besar daripada pelaburan rendah, sebenarnya suatu aktiviti pengumpulan wang deposit secara haram yang menyalahi undang-undang Malaysia.

Fakta penting diperoleh daripada siasatan menerusi laman web rujukan
[link] itu ialah kebanyakan laman web pelaburan skim cepat kaya didaftarkan dengan pengelola web di Amerika Syarikat (AS) oleh pemilik yang beralamat di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Seri Kembangan.

Bagaimanapun, beberapa lagi laman web yang popular di kalangan rakyat Malaysia didapati didaftarkan di bawah nama pemilik proksi beralamat di AS.

Siasatan menerusi laman web rujukan
[link] pula mendedahkan semua 16 laman web yang disiasat didominasi oleh pengunjung dari Malaysia dengan kadar setinggi 98.5 peratus.
Laman-laman web yang disiasat ialah winlifund.com, iluf.biz, buyebarrel.us, buyebarrel.com, eaindex.com, swisscash.net, e-investpro.com, ugifund.com, eukgold.com, a3union.com, smartindex.us, abfund.us, fical.us, globalforex.biz, swedenfund.com, dan al-arabic.com.

Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin memberitahu Utusan Malaysia, persatuan itu turut mendapat maklumat yang sama bahawa kebanyakan laman web yang digambarkan sebagai berpangkalan di AS itu sebenarnya dikendalikan rakyat Malaysia sendiri.

Katanya, ini membuktikan wujud penipuan di kalangan pengendali laman-laman web tersebut yang dipercayai dilakukan oleh mereka yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang ICT terutama kemahiran pembinaan laman web.

"Kita sedih kerana pakar-pakar ICT memberitahu PPIM bahawa kebanyakan laman web skim pelaburan Internet didalangi oleh mereka yang bukan Islam sedangkan mangsa-mangsa adalah umat Islam.
"Sehubungan itu, PPIM ingin menyeru umat Islam supaya menjauhi skim-skim seperti ini yang sudah ternyata salah di sisi Islam, malah telah pun difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuarat kali ke-77 di Kuala Terengganu memutuskan bahawa skim-skim pelaburan melalui Internet yang menjanjikan pulangan berlipat ganda secara tetap adalah haram kerana berunsur riba.

Berdasarkan siasatan oleh pakar-pakar IT juga menunjukkan bahawa pengendali web mengaburi mata pelabur atau mangsa dengan pelbagai imej meyakinkan di paparan web mereka termasuk meletakkan logo-logo bank dan langganan perkhidmatan Telegraphic Transfer (TT) untuk dijadikan sebagai ‘bukti pengiktirafan' terhadap aktiviti mereka.

Mengenai jumlah pengunjung dari Malaysia yang mendominasikan semua laman web yang disiasat, ia adalah petunjuk bahawa laman-laman itu tidak dikenali oleh rakyat negara lain kecuali terlalu sedikit dari Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand.

Kemasukan pengunjung web dari kedua-dua negara jiran itu dipercayai dipengaruhi faktor geografi yang mana ia disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri secara lisan mahu pun e-mel.

Ada di antara laman-laman web itu tersenarai dalam Top 100 Web Site (berdasarkan rujukan dari alexa.com) yang dikunjungi rakyat Malaysia.
Pensyarah di Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dianne Cheong Lee Mei, mengakui mengenai gejala itu dan menyifatkan ia sebagai jenayah siber yang harus ditangani dengan serius oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, pengendali-pengendali laman web skim pelaburan Internet itu bertopengkan imej yang menggambarkan seolah-olah mereka berpangkalan di luar negara dan diurus oleh pegawai-pegawai bertauliah serta berwibawa dalam perniagaan.

"Selalunya pengguna-pengguna Internet di Malaysia tidak pernah ambil tahu, apatah lagi menyiasat dan memeriksa siapakah sebenarnya pemilik sesebuah laman web sehinggakan mereka mempercayai maklumat di dalamnya secara membuta tuli.

"Masalahnya di negara ini, apabila ada yang menjadi mangsa akibat penipuan skim-skim Internet, tidak ramai yang tampil untuk membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, siasatan juga mendapati, terdapat sebuah pelayan (server) kepada satu laman web pelaburan skim cepat kaya berasaskan Internet yang sudah pun memiliki beberapa laman web baru di pelayan yang sama dipercayai akan dilancarkan tidak lama lagi.
Antara laman web pelaburan yang dijangka akan dilancarkan bila-bila masa ialah emxfund.com dan dnfund.net


Komentar Ringkas Saya :

Rakyat Malaysia terutama yang beragama islam perlu menuruti saranan Allah SWT apabila Allah SWT berfirman : "BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU"

Iaitu perlu utamakan pengkajian dan pembacaan serta pembukaan minda dalam menilai sesuatu ilmu. Ternyata sebelum keluar fatwa dari sebarang mufti, sejak Ogos 2006 lagi saya telah menulis perihal haramnya Swisscash berdasrkan panduan Fatwa Majlis Ulama Fiqh Sedunia. Kemudian isu menjadi hangat lagi apabila saya mengulas juga isu empay, ebarrel, abb fund dan lain-lain. Para pelabur haram ini DENGAN SEGERA menempelak saya, walaubagaimanapun alhamdulillah ramai juga yang insaf setelah membaca menggunakan iman dan hati serta minda yang waras.

dalam ketika yang sama, individu menempelak mulalah mempertikaikan mengapa tiada mufti yang mengharamkan, kemudian muncul Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan, bagaimanapun puak pelabur masih mempertikai kerana latar belakang Mufti Perlis dan kononnya saya yang membentangkannya. Kemudian Mufti Johor danTerengganu pula mengharamkannya. Kali ini mereka terus kritik dan meminta lagi lalu dikatakan tiada keputusan dari Majlis Fatwa Kebangsaaan.

Tiba-tiba Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengharamkannya, di ketika itu, inidividu yang telah makan duit haram riba yang dijamin hilang berkat hidup oleh ALlah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 278 terus menunjukkan kehilangan berkat dalam hidupnya, apabila mempertikaikan pula kredibiliti Majlis Fatwa Kebangsaan pula. BUkannya ingin dibaca inti kandungan fatwa mahupun membaca tulisan saya dengan iman, tetapi yang disibukkan adalah latar belakang seseorang.

Inilah realiti yang amat menyedihkan, akhir kata terpulanglah, jika berkeras sangat ingin berperang dengan Allah SWT dan RasulNya. Kami tiada lagi mampu membantu anda.

Saya ingatkan bahawa keputusan Majlis Mufti mengharamkan Pelaburan Melalui Internet disebut kerana beberapa ciri yang sama dengan apa yang telah saya tulsiakn di web ini. Maka jika ciri tersebut terdapat pada pinjaman dan pelaburan di bank konvensional, Ah Long dan lain-lain, maka ia sama haramnya.

INGATLAH SEKALI LAGI :

Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Ia berdasarkan Firman Allah SWT :

Ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya" (Al-Baqarah : 278)

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan ‘saki baki' riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini menyebut ‘saki baki', menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar menurut sunnah dan menjadi mukmin sejati, perlulah ia berpengetahuan jelas tentang riba serta menjauhkan diri darinya secara seratus peratus.

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :

Ertinya : "Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT" (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah rh pula : " Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan" (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : "Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya" (Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )

Berkata Imam Qatadah rh : " Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada" (at-Tabari, 3/72 )

b) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah SWT berfirman :

Ertinya : "Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah" ( Al-Baqarah : 276 )

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta tersebut dari pemiliknya kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah dan membawa dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma'rifat, Beirut, 1982 , 1/224). Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas'ud r.a :-

Ertinya : "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa" ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )

Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a :

Ertinya : "Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya" (Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

Sekian

Ust Zaharuddin

18 April 2007

Kenapa Mahu Menjadi Ustaz?



medanmutah056.jpg



Hari ini saya dikelilingi oleh pelbagai reaksi masyarakat terhadap golongan ustaz. Isunya adalah tentang pelaburan internet.

Apa yang ada kebelakangan ini adalah peperangan tidak sekufu di antara tokoh-tokoh yang specialized dalam bidang ini seperti sahabat saya al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin Abdul Rahman, dan dituruti dengan fatwa beberapa mufti, hinggalah kepada reaksi rasmi Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya katakan tidak sekufu, kerana peperangan itu bukan di antara hujah berbalas hujah. Tetapi hujah berbalas amarah dan emosi yang tidak sudah-sudah.



Kesan perbalahan ini, adalah seperti golongan ustaz membuka pekung di dada sendiri. Bak kata Ustaz Ismail Kamus suatu ketika dahulu, ”kalau diam tak pasti bagaimana, bila bercakap comfirmed bodoh!”



Saya enggan membabitkan diri dalam pertikaian ini, walaupun dalam hati ada rasa terkilan melihat usaha menyelamatkan masyarakat dari terjebak dengan sesuatu yang haram, diperlekehkan oleh isu umur dan senioriti, siapa dia, apa kelayakan dia, dan tidak segan untuk membelakangkan terus hujah-hujah yang terdiri dari kalam Allah dan Rasul-Nya, serta pandangan Ulama’ yang mewarisi amanah para Nabi. Alangkah baiknya kalau hujah dipertikaikan dengan hujah yang lebih rasional, kerana itulah tradisi keilmuan Islam selama-lamanya.



Seperti yang saya katakan tadi, biarlah isu ini diselesaikan oleh mereka yang ahli di dalamnya.



MENGAPA RAMAI USTAZ TERLIBAT



Namun, apa yang ingin saya perkatakan adalah satu sudut lain terhadap isu ini, iaitu mengapakah begitu ramai ustaz yang terlibat dengan pelaburan internet dan kes-kes yang seumpama dengannya? Sehingga menjadi kesulitan kepada masyarakat untuk mempertimbangkan hal ini secara rasional, lantaran ramai ’ustaz kami’ yang menyertainya.



Bukan hanya terserlah pada debat maya, malah saya sendiri seringkali didatangi oleh rakan sejenis saya (para ustaz) yang tanpa segan silu mengajak saya menyertai skim pelaburan internet, dengan hujah ”ada ustaz kata boleh”. Habis, siapa saya dan siapa dia ketika dia berkata ”ada ustaz kata boleh”. Kalau cerek dan belanga, mungkin sudah berasap-asap tekanan kepala yang terhambur. Namun saya sabarkan diri dan berkelakuan bodoh agar tidak memperbodohkan ’ustaz’ yang sedang duduk di hadapan saya.



Isu utama saya di sini ialah mengapakah ramai ustaz terlibat? Mengapa ramai ustaz yang ‘menjual diri’?



Sabarkan diri seketika, ketepikan kekecewaan saya dan kita semua terhadap kerenah mereka, namun bantulah saya untuk berfikir mengapakah ramai ustaz terlibat di dalam masalah ini?



MENCARI KERJA



Setahun pertama sekembalinya saya ke Malaysia, saya berlanggan dengan hampir semua portal yang menyediakan khidmat mencari pekerjaan. Saya pulang ke Malaysia dalam keadaan yang agak gementar kerana usia sudah mencecah hampir 30 pada ketika itu. Usia ini bermaksud, saya tidak boleh bekerja secara cuba-cuba. Tanggungan sudah besar, dan memilih pekerjaan yang betul adalah sangat kritikal.



Apa yang menjadi hambatan saya ketika itu, bukanlah soal memilih pekerjaan. Tetapi tiada pekerjaan untuk dipilih. Dalam tempoh setahun saya melanggan jobstreet.com dan lain-lain, tidak sampai 20 tawaran pekerjaan yang diiklankan, berkaitan dengan kelulusan seperti saya iaitu di bidang Syariah.



Ia saya catatkan tanpa mengambil kira iklan jawatan ‘guru’. Memang tidak dinafikan, ada J-QAF, dan ada KPLI. Sesekali apabila mendekati bulan Mei dan Jun, ada iklan kerja sebagai penterjemah Bahasa Arab untuk hotel-hotel di Genting Highlands.





Tetapi bayangkan sahaja, graduan yang dihasilkan setiap tahun oleh Akademi Islam Universiti Malaya, FPI UKM, IRK UIAM (sekadar menyebut beberapa nama), di samping Universiti Kolej dan Kolej-kolej yang menawarkan pengajian Islam di seluruh Malaysia. Hitunglah pula berapa ramai yang dikeluarkan oleh Al-Azhar di Mesir, Jordan, Yaman, Syria, Sudan, Arab Saudi, Pakistan, Maghribi juga United Kingdom.



Nisbah peluang pekerjaan para ustaz ini, dengan jumlah mereka yang masuk ke alam pekerjaan, jurangnya merisaukan saya.



Berbekalkan kelulusan dan pengalaman bekerja di luar negara sekali pun, saya memulakan kerja pertama saya di Malaysia dengan gaji pokok hanya RM1000 sebulan. Walaupun berat, dan habis sekelip mata apabila sewa rumah dan bil dibayar, ia masih baik berbanding ramai lagi ustaz dan ustazah yang bekerja dengan gaji yang lebih rendah dari itu. Saya perlu bekerja keras untuk menyelesaikan keperluan hidup, dan mendekatkan jarak gaji saya dengan isteri. Ia suatu perjuangan untuk keperluan, dan maruah diri.



Tetapi bagaimana pula dengan graduan-graduan Syariah yang lain? Ke mana perginya mereka?



MENGUNDANG KEENGKARAN



Sesungguhnya tekanan hidup bagi graduan pengajian Islam bukanlah suatu isu yang boleh diremeh-temehkan.



Kita boleh mengambil sikap mentertawakan sesetengah ustaz yang mengambil jalan pintas. Ada yang menukar prinsip politik untuk ’cari makan’. Dan nah, apabila munculnya MLM seperti cendawan selepas hujan, dan skim pelaburan sehebat yang ada, saya tidak hairan seorang ustaz yang sedang menggaru kepala memikirkan susu dan lampin anaknya akan terjebak tanpa mahu menyiasat dalam-dalam.



كاد الفقر أن يكون كفرا



”Hampir-hampir sahaja kefakiran itu menghasilkan kekufuran”



Walaupun atsar yang diriwayatkan dari Umar Radhiyallahu ’anhu ini dihukum sebagai dhaif oleh kebanyakan ahli hadith yang saya ketahui, namun jangan dipejamkan maknanya dari realiti masyarakat.



Sudah tentu, dengan ilmu Syariah di dada dan helaian ijazah serta diploma, sepatutnya ia menjadi benteng Taqwa untuk bertahan di jalan yang lurus. Itulah yang sepatutnya. Namun kemiskinan dan tekanan hidup pemegang kelulusan pengajian Islam (seorang manusia yang manusia)… adalah fenomena yang boleh menghasilkan 1001 penyakit di dalam masyarakat.



Penyakit paling ringan, adalah hilangnya peranan mereka sebagai guru masyarakat. Penyakit paling berat, setelah tidak berperanan sebagai guru, mereka berubah menjadi perosak masyarakat. Ya, kefakiran boleh mencetuskan apa sahaja.



Seperti yang saya katakan tadi, kita boleh ketawakan para ustaz ini, memaki hamun dan menyindir mereka sebagai ular dalam semak, dan bukannya ulamak. Kita boleh berkata apa sahaja tentang mereka, tetapi semua itu adalah tindakan reaktif yang TIDAK MENGHASILKAN PENYELESAIAN.



Amat berat untuk saya menulis tentang ini kerana MARAH saya jauh lebih besar berbanding dengan SIMPATI. Namun sebagai seorang da’ie, dengan sekelumit simpati itulah, saya cuba mencari jalan keluarnya.



MENYELAMATKAN GENERASI PELAPIS

Bagi pelajar yang menyambung pengajian di bidang Sunnatullah seperti perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan lain-lain, saya ada akses yang agak baik kepada mereka. Alhamdulillah, saya bersama team di dalam Kelab Rakan Intelek Muda, kami panggil balik sahabat-sahabat lama yang sudah menjadi doktor pakar, ketua jabatan di IPT dan lain-lain, untuk turun bersama mengadakan sesi kursus bagi pelajar di kolej persediaan.





Bersama pelajar ke UK, Eire dan USA di dalam Eco-Camp Anjuran KRIM



Kami hidangkan kepada pelajar-pelajar ini, realiti sebenar dunia pekerjaan mereka nanti. Biar soal Begin With the End in Mind mereka cukup optimum agar mereka melangkah ke universiti dengan visi dan misi yang TEPAT dan JELAS.



Tetapi setakat ini saya tiada akses kepada pelapis-pelapis saya sendiri. Bakal-bakal ustaz dan ustazah. Saya mahu berkongsi pengalaman dan nasihat sebagai abang kepada mereka, agar mereka pergi ke kembara ilmu dengan akal, mata dan hati yang celik terhadap masa depan mereka.



KRISIS VISI DAN MISI



Saya amat bimbang, ramai yang mengambil keputusan untuk belajar di bidang agama, mempunyai visi dan misi yang TEPAT, malangnya TIDAK JELAS. Mahu menjadi pewaris Anbiya’, mahu mengubah masyarakat, mahu menjadi da’i yang berisi, semua itu tepat… tetapi tidak jelas. Kerana ia hanya konsep, yang sukar dijelmakan dalam bentuk pekerjaan, demi survival kehidupan kerana manusia hidup dengan makan dan minum, bukan teori dan slogan.



nasibustaz01.jpg

Saya adalah di antara pelajar yang MEMILIH untuk belajar di bidang agama. Saya sudah berada di salah sebuah sekolah yang terbaik di Malaysia. Di dalam kelas aliran Sains yang terbaik yang saya boleh pergi. Tetapi saya telah membuat keputusan (bodoh atau cerdik) untuk beralih ke sekolah asal saya yang serba kekurangan, demi mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang Ulama’. Keputusan dibuat pada tahun 1991.



Kini, kesan keputusan itu boleh dilihat pada tahun 2007. Rakan-rakan sekelas saya dahulu sudah mencapai kejayaan yang layak dengan kebolehan mereka. Pada usia 32 tahun, rakan-rakan saya sudah berumah sendiri, sudah semakin menghampiri fenomena ”money works for us, and we no longer work for money”. Tetapi saya masih melalui kehidupan yang penat dan letih di usia 32 tahun ini. Masih gementar di pertengahan setiap bulan.



Namun tidak sekelumit pun rasa terkilan atau menyesal di hati, meninggalkan ‘dunia’ itu. Saya amat terasa betapa bermaknanya menjadi pelajar di bidang agama secara PILIHAN, dan bukannya KERANA TERPAKSA.



Tetapi perasaan ini tidak terbit secara mudah. Dengan 1001 kepayahan semasa belajar, saya cuba lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar bersedia untuk terjun ke dunia yang serba payah di hadapan saya. Saya kemaskan Bahasa Arab, pertahankan Bahasa Inggeris sebagai alat yang penting, saya tidak jemu belajar ICT, dan paling utama, seperti yang pernah saya sebutkan semasa di Jordan, ”setiap seorang daripada kita, mesti specialized dalam sesuatu”. Jangan pulang ke Malaysia hanya menambah bilangan yang ada, sebaliknya ada keunikan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, dan boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.



Belajar bersungguh-sungguh, tidak ponteng kelas, dan cuba yang terbaik, walaupun sesekali kecundang sebagai manusia biasa.



Saya mahu memberitahu adik-adik yang masih menuntut di bangku pengajian Islam, bukakan mata terhadap realiti. Jangan berebut mengejar J-QAF dan KPLI kerana berapa sangat guru agama yang diperlukan di sebuah sekolah. Lengkapkanlah diri dengan semua ilmu, kemahiran dan maklumat yang ada agar anda masuk ke dunia pekerjaan dengan multi skill.



Dan yang terlebih penting, gilaplah sikap-sikap positif dan profesional di dalam diri. Ketika para profesional berebut menjadi ’protaz’, malang sekali apabila saya hendak menyebut ”Kepimpinan Ulama” pun, tersekat di kerongkong. Bagaimana Ulama’ mahu memimpin masyarakat hari ini, jika kita penuh dengan rendah diri, serba faqir dan dha’if, lantas akhirnya menjadi mangsa perangkap skim pelaburan internet, MLM jenis yang tidak syar’ie, menjual Insurans yang tidak Islamik dan seterusnya menjadi fitnah kepada agama yang kita perjuangkan semasa di alam ada biasiswa dan elaun dulu.



housefly.jpg



LALAT



Saya takut, golongan agama di akhir zaman, semakin menjadi seperti lalat yang muncul di mana-mana sahaja ada makanan dan bangkai. Bila ada kenduri, barulah orang agama ada gunanya, untuk baca doa. Dan bila ada orang mati, barulah orang agama ada gunanya, untuk doa dan kenduri arwah.



Pastikan anda ada visi dan misi yang TEPAT….. dan JELAS!!!



Saya doakan.



ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur