Tuesday, July 24, 2007

Rubbama A’toka Fa mana’aka, Wa Rubbama Mana’aka Fa A’toka.

“Kadang-kadang diberi kesenangan tetapi dihalang Hidayah, kadang-kadang dihalang kesenangan tetapi diberi Hidayah”

Saya terdiam bilamana kata-kata ini dibaca, mungkin maknanya membuatkan saya terdiam tanpa kata. Saya baca berulang kali untuk memahami lebih dalam akan kata-kata tersebut. Alhamdulillah, setelah ustaz Faisal menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan kata-kata tersebut, saya rasa lebih faham apa yang dimaksudkan oleh penulis.

Kata Hikmah ini dipetik dari sebuah kitab yang diberi nama Al-Hikam Al-‘Athoiyyah yang dikarang oleh seorang ulamak Mesir yang terkenal dalam bidang Tasawwuf iaitulah Ibnu ‘Athoillah As-Sakandari. Saya memetik kalam tersebut pada kata-kata hikmah yang ke 83.

Maksud “Al-Kalam”

Adakala Allah memberi segala nikmat kesenangan kepada kita di dunia iaitu dengan merasakan lazat akan nikmat dunia dengan nafsu syahwat yang melalaikan, akan tetapi dihalang pada akhirnya oleh Allah dari mendapat taufik dan hidayah. Ketaatan dan segala amal soleh kita juga tidak diterima oleh Allah s.w.t

Dan adakala, Allah menahan nafsu syahwat kita daripada suka nikmat lazatnya dunia kepada Allah memberikan Taufik dan Hidayah.

Al-kitab sebut lagi, kadang-kadang Allah memberi nikmat dunia tetapi tidak memberi keindahan keseluruhan dunia. Dan kadang-kadang juga Allah menegah daripada mendapat perhiasan dunia akan tetapi memberikan kenikmatan pandangan akan nikmat tersebut

Kadang-kadang Allah memberi kemegahan dunia tetapi dihalang kemegahan di Akhirat. Dan kadang-kadang diberi kemegahan akhirat dan dihalang mendapat kemegahan di dunia

Apa maksud semua ini?

Tepuk dada Tanyalah iman. Kemungkinan kita tidak sedar nikmat dunia yang Allah datangkan sebagai ‘musuh’ kepada kita, kita anggap ianya sebagai ‘kawan’. Nikmat kesenangan yang Allah berikan, kita sudahi nikmat tersebut dengan tidak bersyukur kepada Allah. Memang perkara ini adalah biasa. Tetapi ingat, Alah bisa tegal biasa’ yang memungkinkan kita terjerumus dengan godaan dunia. Bila terbiasa ‘beramal’ dengan perkara tersebut, kita akan lalai pada Allah. Segala amal soleh kita tidak diterima oleh Allah. Na’uzubillahh!!

Kesenangan Dunia

Apabila saya merenung jauh, apakah matlamat utama kita diberi peluang hidup di dunia ini, maka disana saya mengerti ada dua perkara tujuan dijadikan kita oleh Allah s.w.t iaitulah atas tujuan beribadah kepada Allah, menyatakan Allah itu Esa tiada satu atau dua dan juga menjadi khalifah dimuka bumi Allah ini. Di dalam kehidupan seharian banyak agenda yang telahpun dirancang. Namun terpikir dalam keadaan kita sebuk dalam bekerja, apakah suasana penghujung dunia ini. Adakah kita sempat menunaikan segala amanah dan tanggungjawab yang telah terpundak atas bahu kita ataupun sebaliknya.

Segala puji bagi Allah, tuhan yang memiliki sekalian alam, lautan, dataran dan udara semuanya kepunyaan Nya. Diberi kesempatan waktu untuk menunaikan segala amanah tersebut sebelum ini. Adakalanya segala urusan kita itu senang, dan adakala juga urusan yang dibuat itu merumitkan. Namun, apakah segala kesenangan dan kesusahan itu dijadikan kayu ukur diatas apa yang telah kita lakukan. Maksud saya, kadang-kadang kerja urusan kita jadi susah, adakah kita memuhasabah kembali atas ‘perkara salah’ yang telah kita lakukan. Astaqfirullahhh!! Baca mathurat setiap haripun, tak terkira banyaknya kesilapan kita.

Teringat satu hadis yang bermaksud, Allah tidak akan memasukkan hambanya kedalam Syurga hanya atas dasar amalan baiknya, akan tetapi dimasukkan kedalam syurga dengan hanya Hidayah Allah s.w.t.. Subhanallahh!!

Allah juga berfirman di dalam satu hadis Qursi bahawa Allah memerintahkan kepada Syurga agar membenarkan masuk hanya kepada sesiapa yang Allah beri Hidayah padanya. Hidayah Allah mengatasi segala, baik amal kebaikan, kebajikan dan berbuat baik pada orang lain. Moga Allah menghitung dengan neraca yang paling mulia disisinya dengan memberi hidayah kepada semua kaum Muslimin dan muslimat.

Doa silahul Mukmin

Kita selaku hamba, wajib berdoa kepada Allah s.w.t agar diberi kesenangan dan hidayah Allah. Kita kuatir dengan segala tanggapan kita yang mungkin tidak sama sekali bertepatan dengan perancangan Allah. Sebagaimana disebut di dalam Al-Quran “ ’Asaa an takrahu syai’an wahuwa khairun lakom, wa ‘asaa antuhibbu syai’an wahuwa syarrun lakom” bermaksud dirasakan tidak menyukai sesuatu perkara akan tetapi baik disisi Allah, dan dirasai suka sesuatu itu akan tetapi buruk disisi Allah. Dan disambung oleh Allah dengan ayat yang terakhir yang bermaksud “Dan akulah (yakni Allah) lebih mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”. (Surah Al-Baqarah:216)

Ittifak para ulamak dalam bertawassul dengan dua perkara. Ianya ialah:
1) Tawassul dengan Nama Allah dan sifat-sifat Allah
2) Tawassul dengan Amalan soleh kita

Tawassul iaitu berdoa dengan menjadikan amalan soleh kita sebagai perantaraan untuk mendapatkan apa yang kita hajati. Kita tidak syirik kepada Allah, kita hanya menjalankan tugas kita sebagai ‘peminta restu’ dari Allah untuk sertai perjalanan kehidupan kita seharian.

Maqam Musabbab bukan Tajrid

Maqam Tajrid ialah mereka yang mendapat karomah atas kurniaan Allah. Mereka adalah daripada wali-wali Allah dan para ahli ibadat yang soleh dan solehah. Kedudukan mereka sangat rapat disisi Allah sehinggakan mereka diberi apa yang diminta. Ianya tidak mustahil bagi Allah.

Manakala Maqam Musabbab, mereka yang perlu mencari sebab dan juga penyebab akan perkara yang diinginkan. Sebagai contoh jika inginkan kejayaan di dalam imtihan, perlulah berusaha terlebih dahulu sebagai ‘penyebab’ kepada kejayaan. Inilah yang dikatakan peringkat atau maqam orang biasa. Perlu berusaha walau apa jua, berbeza dengan maqam tajrid iaitu orang yang diberi oleh Allah dengan tiada bersusah payah berusaha.

Moga Allah memberikan yang terbaik kepada diri kita. Jadilah salik yang berada diatas toriqul masalik. Bersempena dengan bulan Rejab ini juga, kita memohon kepada Allah, beristqfar kepada Allah, moga-moga kita juga dikategorikan sebagai orang-orang yang soleh dan solehah.

Jadilah sifat para kebanyakan waliulllah, disaat ditimpa musibah dan ujian yang berat itulah ‘Hari Raya’ pada mereka. Fikirkan..!!

No comments: