Alhamdulillah wassalamu ‘Ala Rasulillah, wa ba’du,
Sudah lama saya meninggalkan ‘teratak’ ini berusang tiada perhatian, dihotelkan oleh sang labah-labah mencari nikmat serangga yang berkeliaran dan juga semut yang menghurung akan entri yang basi akibat pembaca meninggalkan sisa bacaan tajuk yang telahpun dibaca berulang kali. Maafkan diri ini membiarkan sedemikian. Agak banyak taklifan yang perlu saya laksanakan, selepas sahaja tamat peperiksaan fasa kedua kali ini. Bercampur program dan planning yang padat setiap hari. ‘Ala kullihal saya tidak menjadikan ianya penyebab, namun saya cuba mencari sedikit ruang bagi meneman kembali teratak ini, mungkin menetap semalam dua bagi membersih kembali sisa bacaan dan digantikan dengan entri langsir yang baru, supaya lebih kerap saya ber’uzlah dan melepaskan penat.
Entri kali ini ingin saya kupaskan satu tajuk yang berbunyi “Al-Ghoyah La Tubarriru bil Wasilah” yang membawa maksud Matlamat Tidak Menghalalkan Cara . Ianya merupakan salah satu cara kaedah Fiqhiah umum dalam meletakkan sesuatu hukum terhadap beberapa permasalahan fiqh.
Konteks pelajar
Setiap kali musim peperiksaan, baik pelajar yang beragama islam dan bukan islam terjebak dengan pengambilan ubat penenang. Gejala ini saya dapati menjalar sehingga ketahap mahasiswa di kampus tempatan. Keluhan dengan mengatakan masih banyak untuk membaca dan menghafal, sampailah sanggup mengambil pil penenang dan pil yang lain bagi ‘membantu’ agar tidak mengantuk dan berusaha menghabiskan tugasan. Gejala ini juga terjadi pada setiap kali tugasan assignment untuk dihantar pada esok hari bagi mereka yang belum lagi siap.
Inilah yang dikatakan, matlamat tidak menghalalkan cara. Tujuan untuk menghabiskan tugasan yang dipertanggungjawabkan adalah satu perkara yang baik, malah dituntut. Akan tetapi cara mereka dalam menyelesaikan masalah ini adalah salah. Tidak semestinya dengan pengambilan 'barang' tersebut boleh membantu menyelesaikan masalah. Ini kerana kesan negatifnya amat banyak. Antaranya apabila kesan ubat sudah habis, si pengambil akan rasa sangat mengantuk. Bila tidur akan tidur sehingga waktu yang cukup lama. Solat ke ape ke, habis hilang entah kemana.(Pengalaman si pengamal, bukan pengalaman penulis).
Masih banyak cara sebenarnya untuk mengatasi masalah ini, antaranya study group, minum air, senaman ringan, dan rehat yang cukup.
Bomoh suk
Fenomena masyarakat islam di Malaysia lebih percaya bomoh dari Al-Quran. Kebanyakkan mereka berpengetahuan cetek dalam agama. Dahla tak tahu agama, buat pandai sendiri dalam agama. Bukan nak tanya orang ‘alim. Inilah yang berlaku, sehinggakan ramai melakukan syirik kepada Allah kerana mempercayai bomoh dalam menyelesaikan masalah mereka.
Mereka datang dengan harapan sembuh dari penyakit yang dihadapi. Tapi sayang matlamat tidak menghalalkan cara. Bomoh tujuannya ingin mengubati pesakit akan tetapi tidak sedar sudah melakukan perkara haram apabila ada beberapa bomoh yang selalunya menggunakan mentera-mentera untuk menyeru khadam atau jin mereka agar membantu dalam mengubat pesakit tersebut. Meminta selain dari Allah adalah syirik. Hukumnya adalah haram. Bagi kita yang tidak tahu akan hakikat ini makruh hukumnya jika berubat dengan bomoh ini. Dan tidak mustahil menjadi haram sekiranya kita tahu akan perkara ini.
Taadud Jamaah
Islam mengiktiraf dengan fenomena yang berlaku pada hari ini berkaitan berbilangnya jemaah. Namun begitu, ulamak telah meletakkan secara jelas bagaimana jemaah-jemaah ini perlu bersatu dalam pengurusan islam yang syumul.
Secara jelasnya taadud jemaah yang berasaskan ‘tanawwuk’ adalah dibolehkan. Iaitulah banyaknya jemaah tadi dinaungi satu jemaah besar yang mengepalai jemaah-jemaah tersebut. Akan tetapi realiti hari ini pelbagai jemaah yang timbul dengan tidak berasaskan tanawwuk, akan tetapi berasaskan ‘tafarruq’. Tafarrruq bermaksud jemaah yang tidak dinaungi oleh jemaah yang besar, dan bergerak secara solo, berpisah dengan jemaah yang lain.
Matlamat tidak menghalalkan cara. Meskipon jemaah yang tafarruk ini juga hendak melaksanakan Islam sebagai wadah perjuangan, tetapi sedikit sebanyak memberikan satu impak negativ kepada ummat islam seluruhnya. Ini kerana dilihat umat islam tidak mempunyai satu tunjang atau proksi persatuan yang kuat dalam memperjuangkan islam. Bagaimanakah ingin mendirikan negara Islam jika sesama islam saling bercakaran. Matlamat hendak melaksanakan islam akan tetapi cara mereka membuatkan umat islam berbalah sesama sendiri, akhirnya melemahkan kekuatan agama islam
Sumber haram
Realiti pengalaman saya apabila berada di kampung. Ramai dikalangan masyarakat kampung yang kebanyakkannya bekerja sendiri terjebak dengan perkara haram. Antaranya ialah judi, mencuri, spot TOTO dan lain-lain. Hampir sebilangan besar diantara mereka adalah orang muda.
Pernah satu ketika semasa saya sempat bekerja selepas peperiksaan SPM, bercakap-cakap dengan seorang rakan sekerja. Dia sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Pada usia belasan tahun lagi, dia sudah berumahtangga. Pada waktu itu umurnya dalam lingkungan 30. Dia seorang yang rajin bekerja. Gaji yang diterimanya masih tidak cukup untuk membiayai kehidupannya sekeluarga. Disamping dia bekerja di syarikat PETRONAS itu, dia mengambil upah kecil-kecilan di kampung. Antaranya memungut getah skrap yang telahpon kering untuk dijual kepada pembekal.
Motor kapcai, HONDA 70 adalah kawan sekerjanya. Dengan motor kapcai itulah dia mengangkut segala. Sekali nampak macam motor scrembler dan dua kali nampak hanyalah motor kapcai yang telahpon diubahsuai. Exsober motor biasanya ada dua, ditambahnya dua lagi untuk menampung berat getah skrap yang diangkut.
Alhamdulillah ada kesedaran untuk mencari nafkah kehidupan dengan tidak mengharap mak mertua dan orang lain. Tetapi perkara yang tidak menyenangkan saya ialah kadang-kadang dia bermain Spot TOTO. Hasil dia menang judi tu dia pakai untuk sendiri. Dia menyedari akan hakikat judi adalah haram, tetapi hujjah yang dikatakan kepada saya ialah dia tidak gunakan duit itu pada anak dan isterinya, itu hanyalah kegunaan dia sahaja. Bila ditanya apa yang dibeli dengan duit tersebut, dia sebut beli rokok, minyak motor dan lain.
Itulah pemahaman orang yang agak kurang tahu mengenai agama. Pandai buat tafsiran sendiri. Dan pula berceramah dengan yakin kepada saya dengan menyatakan tindakannya benar. Sungguh yakin!! Tetapi sayang, matlamat tidak menghalalkan cara. Sungguhpun dia tidak menggunakan duit tersebut untuk menyara keluarganya, akan tetapi dia tidak sedar bahawa bahan bakar yang menghidupkan motor untuk mengangkut getah yang halal itulah menjadikan rezkinya ada unsur haram. Kaedah fiqh menyebut “Iza ijtama’a halal wa haram qhalaba haram”. Bermaksud apabila bercampurnya halal dan haram maka ianya menjadi haram. Maka berhati-hatilah kita dalam masalah rezeki halal dan haram.
Tindakan kita
Menjadi satu tanggungjawab wajib bagi kita selaku golongan yang terpelajar dan memahami ilmu agama menerangkan sejelas-jelasnya tentang agama. Masyarakat seolah-olah tidak tahu tetapi menganggap dirinya tahu. Kitalah yang berperanan dalam mengembalikan pemahaman penghayatan islam. Berapa ramai yang bergelar islam akan tetapi penghayatan islamnya tidak ada. Dan juga berapa ramai yang mengaji agama tetapi tidak dapat memahami dengan betul maksud agama , sehinggakan masyarakat celaru dengan ilmu yang disampaikan. Siapa mereka? Tentulah mereka yang menyangka diri mereka tahu, tetapi hakikatnya tidak tahu. Tidak mustahil juga mereka adalah kita, yang tidak mampu memahami dengan jelas ilmu agama sebelum disampaikan kepada orang lain. Inilah satu misi besar bagi kita selaku azhari. Fahami kembali penghayatan islam kepada masyarakat. Dan pada masa yang sama kita juga memahami secara mendalam akan ilmu yang ingin disampaikan.
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
13 hours ago
1 comment:
salam..menarik kupasan ini..kombinasi ilmu dan pengalaman.teruskan menulis sbg medium dakwah.
semmmgnya msyrkt kita jahil ttg selok belok beragama..lekaslah pulang ke medan mengubah suasana.merakyat perjuangan!
Post a Comment