Saturday, May 05, 2007

Pelaburan internet: Malaysia di tangga teratas dunia!

Pelaburan internet: Malaysia di tangga teratas dunia!

Petikan Harakahdaily
Fri | Apr 13, 07 | 02:42:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Begitu terdesakkah para penduduk di negara ini? Atau akibat terhimpit dengan tekanan hidup yang makin mencengkam maka sebagai jalan mudah, segala ruang pelaburan tanpa mengkaji halal dan haramnya turut disertai secara sembrono?

Dahsyatnya bumiputra malaysia?!Mungkinkah atas pengaruh pengiklanan laman-laman web sebegini menyebabkan rata-rata rakyat Malaysia menceburi bidang pelaburan secara online? Mungkinkah juga, akibat dipengaruhi dengan gaya hidup mewah para pengusaha awal pelabur-pelabur internet, maka menyebabkan ramai yang berlumba-lumba untuk mencuba nasib?

Namun, walau apa pun alasannya, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam tetap mengharamkannya sebagai antara perniagaan yang melanggar hukum syarak.

Dan jika dilihat pula daripada analisa yang dihasilkan oleh alexa.com menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang teratas dalam senarai penglibatan rakyatnya dalam pelaburan internet jika dibandingkan negara-negara lain di dunia.

Kesian Orang Islam Malaysia

Statistik alexa mendapati Malaysia menduduki tempat tertinggi dengan jumlah lebih 90 peratus bagi pelaburan internet seperti Abfund.us, Empay, Buy ebarrels, Eaindex.com manakala bagi Swisscash.net berada dalam sekitar 60 peratus.

Sementara itu, hanya 10 peratus di kalangan pelabur internet seluruh dunia adalah terdiri daripada kalangan rakyat Singapura yang dikenali sebagai negara yang mantap ekonominya di Asia Tengara.

Bagi produk EmPay dan ebarrels, jumlah penglibatan rakyat Amerika Syarikat tidak sampai pun 1 peratus.

Mudah ditipu?

Kajian ini menimbulkan persoalan sama ada kebijaksanaan rakyat negara yang lebih arif dalam bidang ekonomi berbanding negara lain, jurang kemiskinan dan himpitan beban hidup yang tinggi atau rakyat Malaysia mudah ditipu walaupun didakwa pelaburan-pelaburan tersebut yang 'dilahirkan' di negara lain sedangkan di negara 'kelahiran' pelaburan-pelaburan tersebut tidak mendapat tempat di hati rakyatnya. - mks.

MUKA HADAPAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
14 APRIL 2007 OLEH RAMLI ABDUL KARIM dan HASANI HASSAN

KUALA LUMPUR 13 April - Skim-skim pelaburan Internet yang difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan semalam sebenarnya bukan berpangkalan di luar negara sebagaimana digembar-gemburkan, sebaliknya diuruskan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Siasatan Utusan Malaysia mendapati skim tersebut yang diuar-uarkan mendapat pengiktirafan di peringkat global, cuma beroperasi dari negara ini semata-mata.


Malah lebih malang lagi, maklumat dalam laman-laman web tersebut termasuk kononnya ia berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, offshore dan saham-saham lain juga adalah rekaan semata-mata.

Siasatan Utusan Malaysia yang dilakukan oleh pakar-pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mengesahkan bahawa hampir kesemua laman-laman web yang mendakwa sebagai menyediakan pulangan besar daripada pelaburan rendah, sebenarnya suatu aktiviti pengumpulan wang deposit secara haram yang menyalahi undang-undang Malaysia.

Fakta penting diperoleh daripada siasatan menerusi laman web rujukan
[link] itu ialah kebanyakan laman web pelaburan skim cepat kaya didaftarkan dengan pengelola web di Amerika Syarikat (AS) oleh pemilik yang beralamat di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Seri Kembangan.

Bagaimanapun, beberapa lagi laman web yang popular di kalangan rakyat Malaysia didapati didaftarkan di bawah nama pemilik proksi beralamat di AS.

Siasatan menerusi laman web rujukan
[link] pula mendedahkan semua 16 laman web yang disiasat didominasi oleh pengunjung dari Malaysia dengan kadar setinggi 98.5 peratus.
Laman-laman web yang disiasat ialah winlifund.com, iluf.biz, buyebarrel.us, buyebarrel.com, eaindex.com, swisscash.net, e-investpro.com, ugifund.com, eukgold.com, a3union.com, smartindex.us, abfund.us, fical.us, globalforex.biz, swedenfund.com, dan al-arabic.com.

Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin memberitahu Utusan Malaysia, persatuan itu turut mendapat maklumat yang sama bahawa kebanyakan laman web yang digambarkan sebagai berpangkalan di AS itu sebenarnya dikendalikan rakyat Malaysia sendiri.

Katanya, ini membuktikan wujud penipuan di kalangan pengendali laman-laman web tersebut yang dipercayai dilakukan oleh mereka yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang ICT terutama kemahiran pembinaan laman web.

"Kita sedih kerana pakar-pakar ICT memberitahu PPIM bahawa kebanyakan laman web skim pelaburan Internet didalangi oleh mereka yang bukan Islam sedangkan mangsa-mangsa adalah umat Islam.
"Sehubungan itu, PPIM ingin menyeru umat Islam supaya menjauhi skim-skim seperti ini yang sudah ternyata salah di sisi Islam, malah telah pun difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuarat kali ke-77 di Kuala Terengganu memutuskan bahawa skim-skim pelaburan melalui Internet yang menjanjikan pulangan berlipat ganda secara tetap adalah haram kerana berunsur riba.

Berdasarkan siasatan oleh pakar-pakar IT juga menunjukkan bahawa pengendali web mengaburi mata pelabur atau mangsa dengan pelbagai imej meyakinkan di paparan web mereka termasuk meletakkan logo-logo bank dan langganan perkhidmatan Telegraphic Transfer (TT) untuk dijadikan sebagai ‘bukti pengiktirafan' terhadap aktiviti mereka.

Mengenai jumlah pengunjung dari Malaysia yang mendominasikan semua laman web yang disiasat, ia adalah petunjuk bahawa laman-laman itu tidak dikenali oleh rakyat negara lain kecuali terlalu sedikit dari Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand.

Kemasukan pengunjung web dari kedua-dua negara jiran itu dipercayai dipengaruhi faktor geografi yang mana ia disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri secara lisan mahu pun e-mel.

Ada di antara laman-laman web itu tersenarai dalam Top 100 Web Site (berdasarkan rujukan dari alexa.com) yang dikunjungi rakyat Malaysia.
Pensyarah di Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dianne Cheong Lee Mei, mengakui mengenai gejala itu dan menyifatkan ia sebagai jenayah siber yang harus ditangani dengan serius oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, pengendali-pengendali laman web skim pelaburan Internet itu bertopengkan imej yang menggambarkan seolah-olah mereka berpangkalan di luar negara dan diurus oleh pegawai-pegawai bertauliah serta berwibawa dalam perniagaan.

"Selalunya pengguna-pengguna Internet di Malaysia tidak pernah ambil tahu, apatah lagi menyiasat dan memeriksa siapakah sebenarnya pemilik sesebuah laman web sehinggakan mereka mempercayai maklumat di dalamnya secara membuta tuli.

"Masalahnya di negara ini, apabila ada yang menjadi mangsa akibat penipuan skim-skim Internet, tidak ramai yang tampil untuk membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, siasatan juga mendapati, terdapat sebuah pelayan (server) kepada satu laman web pelaburan skim cepat kaya berasaskan Internet yang sudah pun memiliki beberapa laman web baru di pelayan yang sama dipercayai akan dilancarkan tidak lama lagi.
Antara laman web pelaburan yang dijangka akan dilancarkan bila-bila masa ialah emxfund.com dan dnfund.net


Komentar Ringkas Saya :

Rakyat Malaysia terutama yang beragama islam perlu menuruti saranan Allah SWT apabila Allah SWT berfirman : "BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU"

Iaitu perlu utamakan pengkajian dan pembacaan serta pembukaan minda dalam menilai sesuatu ilmu. Ternyata sebelum keluar fatwa dari sebarang mufti, sejak Ogos 2006 lagi saya telah menulis perihal haramnya Swisscash berdasrkan panduan Fatwa Majlis Ulama Fiqh Sedunia. Kemudian isu menjadi hangat lagi apabila saya mengulas juga isu empay, ebarrel, abb fund dan lain-lain. Para pelabur haram ini DENGAN SEGERA menempelak saya, walaubagaimanapun alhamdulillah ramai juga yang insaf setelah membaca menggunakan iman dan hati serta minda yang waras.

dalam ketika yang sama, individu menempelak mulalah mempertikaikan mengapa tiada mufti yang mengharamkan, kemudian muncul Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan, bagaimanapun puak pelabur masih mempertikai kerana latar belakang Mufti Perlis dan kononnya saya yang membentangkannya. Kemudian Mufti Johor danTerengganu pula mengharamkannya. Kali ini mereka terus kritik dan meminta lagi lalu dikatakan tiada keputusan dari Majlis Fatwa Kebangsaaan.

Tiba-tiba Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengharamkannya, di ketika itu, inidividu yang telah makan duit haram riba yang dijamin hilang berkat hidup oleh ALlah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 278 terus menunjukkan kehilangan berkat dalam hidupnya, apabila mempertikaikan pula kredibiliti Majlis Fatwa Kebangsaan pula. BUkannya ingin dibaca inti kandungan fatwa mahupun membaca tulisan saya dengan iman, tetapi yang disibukkan adalah latar belakang seseorang.

Inilah realiti yang amat menyedihkan, akhir kata terpulanglah, jika berkeras sangat ingin berperang dengan Allah SWT dan RasulNya. Kami tiada lagi mampu membantu anda.

Saya ingatkan bahawa keputusan Majlis Mufti mengharamkan Pelaburan Melalui Internet disebut kerana beberapa ciri yang sama dengan apa yang telah saya tulsiakn di web ini. Maka jika ciri tersebut terdapat pada pinjaman dan pelaburan di bank konvensional, Ah Long dan lain-lain, maka ia sama haramnya.

INGATLAH SEKALI LAGI :

Pemberi Riba Perangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Ia berdasarkan Firman Allah SWT :

Ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidal meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya" (Al-Baqarah : 278)

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan ‘saki baki' riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini menyebut ‘saki baki', menunjukkan bahawa barangsiapa yang ingin benar-benar menurut sunnah dan menjadi mukmin sejati, perlulah ia berpengetahuan jelas tentang riba serta menjauhkan diri darinya secara seratus peratus.

Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :

Ertinya : "Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT" (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)

Berkatalah Abu Hanifah rh pula : " Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan" (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)

Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :

Ertinya : "Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya" (Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )

Berkata Imam Qatadah rh : " Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada" (at-Tabari, 3/72 )

b) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Allah SWT berfirman :

Ertinya : "Allah menghancurkan keberkatan kerana Riba dan menambahkan keberkatan dari sedeqah" ( Al-Baqarah : 276 )

Kehilangan berkat itu akan berlaku di dunia dan di akhirat:-

Di Dunia : Bentuk-bentuk kehilangan berkat harta orang terlibat dengan riba adalah dengan mudah hilang atau habisnya harta tersebut dari pemiliknya kepada pelbagai bentuk yang tidak berfaedah dan membawa dosa, sehinggalah ia akan merasa amat miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak), selain itu, harta tadi akan menjadi sebab ringannya pemilik untuk melakukan maksiat, kefasikan, dan menghinakan diri di sisi Allah SWT, lalu hilanglah sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti di rompak, curi, khianat, dan doa orang yang terkena zalim darinya juga lebih maqbul (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma'rifat, Beirut, 1982 , 1/224). Sabda Nabi SAW dari Ibn Mas'ud r.a :-

Ertinya : "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa" ( Riwayat Ahmad, no 3754 , 1/395 ; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan ( Fath al-Bari, 4/399 )

Di Akhirat : Berkatalah Ibn Abbas r.a :

Ertinya : "Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya" (Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)

Sekian

Ust Zaharuddin

18 April 2007

No comments: