Wednesday, September 03, 2008

SEGULONG IJAZAH ‘TAQWA’




SIJIL TAQWA DI UNIVERSITI RAMADHAN

Saya mengajak anda semua mentadabbur kalam Allah ini. Firman Allah Taala, surah al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi “Ya aiyyuhallazina aamanu kutiba ‘alaikumus Siam………… la’allakom tattaquun”. Bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman ,telah ditetapkan kepadamu berpuasa sepertimana ditetapkan pada kaum yang terdahulu ,moga-moga kamu beroleh Taqwa”. Sadaqallahul ‘Azim. Benarlah kata-kata Allah yang maha tinggi atas tiap2 sesuatu.


Jika diperhatikan ayat ini, Allah menerangkan kepada kita tentang puasa pada bulan Ramadhan. Yang mana puasa bulan ramadhan ini disyariatkan oleh Allah kepada hambaNya. Di penghujung ayat ini Allah mendoakan kepada hambanya semoga beroleh Taqwa. Maknanya Taqwa ini boleh diperolehi daripada bulan ramadhan ini. Tetapi terfikirkah kita, mengapa Allah tidak menjanjikan secara tetap bagi sesiapa yang berpuasa dibulan ramadhan ini akan beroleh taqwa?, sebaliknya Allah menyatakan ‘moga-moga beroleh Taqwa’. Ini menunjukkan kepada kita, tidak semua orang yang berpuasa akan peroleh Taqwa disisiNya.


Pentingkah TAQWA?


Sedar atau tidak didalam kitab suci Al-quran, Allah berulang-ulang kali menyeru manusia supaya bertaqwa. Ini menunjukkan betapa pentingnya taqwa bagi manusia.

Ayat Ali Imran : 102… Sila rujuk

Ayat A-Ahzab : 70…Sila rujuk

Orang bertaqwa adalah semulia-mulia manusia. Ini berdasarkan dari hadis Soheh yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim Nabi S.A.W. Pada suatu hari Baginda pernah ditanya , “Siapakah manusia yang paling mulia?”. Beliau menjawab ”Orang yang paling bertaqwa di antara mereka”. Jelas menunjukkan kepada kita orang bertaqwa adalah orang paling mulia dilkalangan manusia.


Jadi, kita digalakkan untuk mengejar taqwa ini atas perintah Allah taala dan saranan nabi S.A.W. Nabi walaupun dia mempunyai peribadi yang agung , malah sudah dijanjikan syurga kepadanya namun masih berdoa agar dikurniakan taqwa kepadanya. Di dalam kehidupan baginda sentiasa memohon taqwa dari Allah. Antara doa yang dibaca oleh Nabi S.A.W ialah “Allahumma inni as aluka huda wattuqa wal ‘afafa wal ghina” yang bermaksud Ya Allah, Aku memohon dariMu hidayah, ketaqwaan, kemuliaan diri dan kekayaan jiwa. Ini jelas diterangkan oleh Imam muslim di dalam kitabnya Sohehul Muslim. Saya menyarankan kepada rakan-rakan senantiasa membaca dan mengamalkan doa ini, yang mana ianya ma’thur dari Nabi S.A.W dengan memohon kepada Allah.


APA ITU TAQWA?

Mari kita fahami apa itu Taqwa. Maksud Taqwa dari akar-umbinya ialah ‘wiqayah’ iaitulah menjaga atau memelihara. Maksudnya mudah, orang yang bertaqwa ialah orang yang menjaga dirinya. Penjagaan yang dimaksudkan disini ialah dari sudut dalaman diri iaitu rohani. Jadi, lebih khusus Taqwa ialah menjaga rohani agar sentiasa mendampingi Allah, tidak jauh dariNYa.

Mari kita lihat pula apa yang Baginda Rasululullah S.A.W sebut mengenai Taqwa. Sabda Nabi “An yutho’a fala yu’so, wa an yuzkara fala yunsi, wa an yusykara fala yukfar” bermaksud, Taqwa ialah mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNYa, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupaiNya, bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri nikmatNya. Hadis ini menjelaskan kepada kita apakah hakikat Taqwa. Saudara boleh rujuk di dalam kitab Hadis Bukhari.


Satu lagi kisah tentang apa itu Taqwa. Saya memetik dari kisah sahabat Nabi S.A.W iaitu Umar bin al-Khattab r.a .Saydina Umar pernah bertanya kepada rakannya yang juga sahabat iaitu Ubai bin Ka’ab r.a tentang apa makna Taqwa. Saydina Ubai terus menjawab dengan persolan “Pernahkah engkau melalui jalan yang berduri? . maka Umar menjawab ”Ya pernah”. Ubai bertanya lagi “Apa yang engkau lakukan?”. Umar menjawab “Aku mengatur langkah dengan penuh waspada dan berhati-hati”. Lantas Ubai berkata, “Wahai Umar! Itulah yang dinamakan Taqwa”.


Apa yang boleh kita fahami dengan kisah ini ialah Saydina Ubai ingin menyatakan bahawa orang yang bertaqwa itu sentiasa berwaspada dan sentiasa berhati-hati. Tidak cakap sewenag-wenangnya dan tidak turut hawa nafsu. Sentiasa jaga diri dari kemurkaan Allahdengan menjaga tutur kata dan perlakuannya. Matlamat hidupnya memastikan diri sentiasa diredhai Allah dan tidak memarahiNya, ini kerana dia tahu rahsia kebahgiaan hidup terletak dari keredhaan Allah.


Sebut nak dapat Redho Allah ni saya teringat satu hadis. Yang berbunyi “Radhitu billa Rabba, Wa bil Islami Deena, Wa bi saydina MUhammada S.A.W Nabiyya wa Rasula” yang bermaksud Aku redho Allah itu tuhanku, Aku redho Islam itu agamaku, Aku redho Nabi Muhammad itu seorang nabi dan Rasul”. Kata ustaz Ahmad Yahya seorang ulamak muda kedah semasa mengupas hadis ini, inilah 3 syarat yang membolehkan seorang manusia layak mendapat redho Allah taala. Inilah doa yang selalu kita jumpa dalam zikir-zikir pagi dan petang Nabi S.A.W. Tidak mustahil kita juga dikurniakan redho Allah jika mengamalkan makthurat setiap pagi dan petang.


KESIMPULAN

Saydina Ali r.a telah memberikan empat sifat bagi orang yang bertaqwa. Pertama: Ia takutkan Allah kerana keagunganNYa. Kedua: Ia melaksanakan ajaran yang diturunkan Allah. Ketiga Ia redho dengan rezeki yang sedikit. Keempat: Ia membuat persediaan untuk menghadapi hari kematian.


Semoga Universiti Ramadhan ini dapat meningkatkan lagi keimanan kita dan ketaqwaan kita kepada Allah. Pelbagai sulibus yang menarik telahpun disyorkan oleh Allah dan Nabi di dalam madrasah ini. Sebab itulah para ulamak rasa gembira dengan kehadiran bulan ini. Semuanya bergantung kepada kita untuk "mengahafal" seterusnya istiqamah dalam mengamalkannya. MOga dengan sulibus dan modul-modul yang disediakan oleh Allah ini menjadi 'markah tambahan' kepada natijah Taqwa kita nanti. Sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam kitabnya, "Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan", bermaksud jadilah kamu seorang yang beribadah atas dasar rasa bertuhankan Allah bukan beribadah bertuhankan ramadhan sahaja. Tuntasnya,kita perlu jelas,diantara kurniaan Allah kepada orang yang bertaqwa ialah Allah akan sentiasa memperbaiki amalan-amalan hambaNya. Anda bagaimana, jika hendak dipelihara oleh Allah mari sama2 tarbiah diri untuk menuju kejayaan atau kemenangan ini.

Kemenangan di dunia dan di akhirat adalah Taqwa. Sepadan dengan Firman Allah “Inna muttaqiina mafaza” , sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa suatu kemenangan.

Atas diri untuk menang atau kalah!!!

Tingkat diri Taqwa pada Allah, pasti hidup sentiasa gembira..!!

4 Ramadhan 1429 H.
Teratak aljanianji
6.58pg

No comments: