Thursday, September 25, 2008

AL-QURAN ITU HIDAYAH ALLAH




Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan yang terbaik untuk diturunkan al-Quran. Berkata Dr. Abdullah as-Syazili di dalam pengajian kelas tafsirnya pada setiap jumaat malam sabtu di Masjid ‘Atiah, medan Sa’ah Tanta disini, bilamana dia mentafsirkan ayat 185, surah al-Baqarah itu dia menyebut Al-quran itu sendiri adalah petunjuk, bukan sekadar penurunannya itu sahaja merupakan petunjuk (hidayah) kepada manusia. Sebab itulah bagi sesiapa yang membacanya akan dianugerahkan petunjuk (hidayah ) dari Allah.


PUASA DAN QURAN PEMBERI SYAFAAT


Pada satu hari Nabi s.a.w membandingkan antara ‘Puasa’ dan ‘Quran’ pernah berkata dengan sabdanya : ‘Puasa’ dan ‘Quran’ akan memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari Qiamat. Berkata ‘puasa’ “Hamba Allah yang menahan dirinya daripada makan minum serta menahan syahwatnya di siang hari maka aku akan berikan syafaatku kepadanya”. Berkata ‘Quran’ pula “Hamba Allah yang menahan dirinya tidur pada waktu malam untuk membaca al-Quran maka akan ku berikan syafaatku kepadanya”. Maka disitulah ada dua syafaat.


SUSAH BACA PUN DAPAT PAHALA



Membaca quran banyak fadhilatnya dan juga banyak pahalanya. Bagaimana pula yang menghafaz al-Quran? Kalau membaca pun banyak pahalanya lebih-lebih lagilah menghafaznya. Berganda-ganda pahala dan fadhilat jadinya. Satu hadis yang mana diriwayatkan oleh saidatina Aisyah r.ha yang bermaksud “Pahala diperolehi kepada orang yang mahir membaca al-Quran, dan pahala juga diberi kepada orang yang bersusahpayah membaca al-quran, Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama-sama dengan malaikat rahman pada hari akhirat kelak, mereka dimuliakan dengan al-Quran, dan mereka berada di suatu maqam yang tinggi” Au kama qall.


KETAHUILAH SAUDARAKU,


Apabila kita membanyakkan membaca al-Quran, kita dikurniakan pelbagai kebaikan dan syafaat pada hari Qiamat. Bersabdaa Nabi s.a.w “Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran datang pada hari akhirat kelak sebagai syafaat buat si pembacanya”. Sahabat-sahabat sekalian, al-Quran juga bertindak sebagai pelindung kita dari terkena hisab. Ini jelas dari hadis Nabi s.a.w “Akan datang al-Quran dan ahlinya yang mana mereka melaksanakan apa yang disuruh di dalam al-Quran semasa di dunia, mendatanginya surah al-Baqarah dan surah Ali Imran, membentengi si pembacanya”



Nabi bercerita lagi mengenai kelebihan membaca al-Qura
n “Dikatakan kepada si pengamal al-Quran : Bacalah dan tartilkan bacaan sepertimana kamu membacanya di dunia, sesungguhnya rumah kamu di akhirat ini bersama-sama dengan ayat yang kamu baca ”. Dan bersabda lagi oleh Nabi s.a.w “Barangsiapa membaca satu huruf dari al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan setiap satu kebaikan itu ada sepuluh seumpamanya, aku tidak berkata ayat alif lam mim itu satu huruf, tetapi aku nyatakan disini alif itu adalah satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf”


Bayangkanlah sahabat-sahabat sekalian akan panggilan dan seruan ini. Ini adalah seruan dari Nabi kita Muhammad S.A.W. Nabi yang kita nakkan syafaatnya di akhirat kelak. Nabi yang ingin menyelamatkan ummatnya di waktu akhirat kelak. Tidakkah rasa terpanggil untuk menyahut seruannya? Saya tinggalkan tanda tanya ini buat iman kita masing-masing.



ANDA WAHAI ORANG YANG BERPUASA


Saya yakin dan percaya pada bulan ramadhan sudah banyak anda semua membaca al-Quran, samaada di siang hari ataupun sepanjang malam. Tetapi hendaklah kamu banyakkan membaca alquran di Mesjid. Duduklah bersama orang-orang yang bersembahyang yang mana mereka jadikan al-Quran itu sebagai sumber adab mereka. Duduklah kamu bersama mereka jika ada halaqah al-Quran. Duduklah kamu sebagaimana Nabi pernah bersabda akan perihal mereka yang duduk di mesjid, “Tidak ada apa-apa bagi suatu perkumpulan kaum itu di dalam rumah Allah dengan mereka membaca al-Quran dan bertadarus al-Quran sesama mereka, melainkan Allah akan turunkan kepada mereka ketenangan, dipayungi rahmat Allah, dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyatakan merekalah disisi Allah”.


Nampak tak sahabat-sahabat sekalian, Rahmat, Ketenangan, Maghfirah semuanya dijanjikan kepada pembaca al-Quran. Sesungguhnya para salafussoleh Ridwanullah ‘alaihim ajma’in, tatkala masuknya bulan Ramadhan, mereka bersungguh-sungguh membaca al-Quran. Membaca dengan khusyuk pada setiap baris kalimahnya, dan merendah diri pada setiap suruhan didalamnya. Bersabda Nabi s.a.w “Sesungguhnya al-Quran ini sebagai peradaban Allah, maka dekatkanlah kamu dengan al-Quran dan beradablah dengannya sebagaimana kamu mampu, inilah al-Quran ikatan Allah yang kukuh dan cahaya kebenaran, dan sebagai penyembuh kepada orang yang memanfaatkannya, tidak akan berbuat dosa bagi sesiapa yang berpegang dengannya, dan berjayalah kepada mereka yang mengikuti suruhan didalamnya, tidak akan menyimpang dari jalan sebenar, tidak akan membengkok maka akan membetulkannya, bacalah kamu al-Quran sesungguhnya Allah akan memberi pahala kepada kamu setiap huruf itu dengan sepuluh kebaikan”

Terdapat di dalam kisah-kisah imam-imam kita yang empat dan selain mereka iaitu sezaman dengan mereka salafussoleh yang lain, mereka mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali setiap hari pada bulan ramadhan. Allahh…. Hebat bukan. Ini dapat dibuktikan lagi dari kata-kata Abdullah bin al-mubarak : Ada diantara imam-imam kita mereka mengkhatamkan al-Quran di dalam dua raakat solat mereka, mereka ialah Saidina Othman bin Affan, Saidina Tamim Addari, Saidina Said bin Jabir, Abu Hanifah an-Nukman.



Dan berkata lagi Oleh Abdullah bin al-Mubarak : Mereka suka menghabiskan al-Quran pada hari-hari saif (panas) iaitu ketika permulaan siang, dan juga suka menghabiskan membaca al-Quran ketika hari-hari syitak (sejuk)iaitu ketika permulaan malam, sehinggalah didapati solat mereka sungguh banyak.



Satu lagi kisah yang boleh ana ceritakan disini ialah, Saidina Sufyan As-Sauri r.a, apabila masuknya bulan Ramadhan maka dia meninggalkan semua ibadatnya dengan menggantikan membaca al-Quran. Dan Saidina Malik bin Anas r.a apabila masuknya bulan ramadhan dia meninggalkan daripada membaca hadis dan menghadiri majlis ilmu kepada melazimi membaca al-Quran. Dan dipelihara daripada Abi Hanifah an-Nukman , sesungguhnya beliau mengkhatamkan al-Quran pada suatu tempat yang mana tempat itu juga dijadikan tempat kuburnya, sebanyak tujuh ribu kali. Dan di dalam kitab syarah Muslim yang ditulis oleh Imam an-Nawawi, Bahawasanya Abdullah bin Idris al-Kufi berkata kepada anak perempuannya yang menangis pada ketika mana dia diziarahi anaknya ketika hendak mati, berkata “Janganlah engkau menangis, sesungguhnya aku telah khatam al-Quran di dalam rumah ini sebanyak empat ribu kali”



Allahu Akbar..!!
Adakah ini kalam-kalam yang sesat? Adakah ini semua hanya hikayat semata-mata? Tidak,seribu kali tidak!! Bahkan itulah kebenaran yang berlaku kepada mereka. Satu hakikat yang diceritakan kepada kita dari orang yang datang dari sezaman dengan mereka. Merekalah orang-orang yang hidup menjalani kehidupan bulan ramadhan dalam keadaan cukup bahagia dan seronok. Satu kehidupan yang dirasakan adanya halawatul iman mereka dan timbul keikhlasan mereka kepada Pencipta.


KESIMPULAN


Para salafussoleh R.Anhum menjadikan al-Quran sebagai sajian ‘makanan’ bagi hati-hati mereka. Menjadikan al-Quran sebagai penyejuk diri mereka. Bukan sahaja begitu malah mentatbiqkan segala apa yang terkandung di dalamnya, membangunkan hukam-hakamnya, maka merekalah berhak digelar sebagai pembawa risalah al-Quran dan iman.


Jadi, bagaimanakah dengan kita? Boleh duduk bersahajakah kita di dalam bulan Ramadhan yang masih berbaki ini? Pesan guru saya, syiekh Mahmud, dibulan puasa ini amalkan dan perbanyakkan membaca al-Quran, solat dhuha, solat fardhu di awal waktu dan solat Tahajjud, moga-moga dapat rahmatNya. Dan Dr. Abdullah as-Syazili, salah seorang Dr al-Azhar tanta, kuliah usuluddin berpesan kepada kami selepas pengajiannya, di bulan puasa ini perbanyakkanlah membaca al-Quran, jaga pandangan, jaga lidah dari perkara sia-sia. Nah..!! Inilah kesedaran untuk kita. Jika kita baca quran sebelum ini saja-saja tanpa tahu dalil dan hikmahnya, inilah dia dalil dan hikmahnya. Kalau ada lagi manusia yang tak mahu buat, tak tahulah saya. Mungkin Hidayah belum sampai agaknya. Tepuk dada tanyalah iman kita..



Ya Allah, rahmatilah kami dengan al-Quran,Jadikan ianya sebagai imam kami, cahaya kami, petunjuk kami, rahmat kami, Ya Allah, peringatkanlah kami apa yang kami dilupakan, Dan ajarkanlah kami apa yang kami jahil, dan hadirkanlah kami rasa untuk membaca pada siang dan malam, dan jadikan al-quran itu sebagai hujjah bagi kami, Ya Allah engkaulah tuhan sekelian Alam.




Teratak aljanianji,
12.44 tgh, 25 Ramadhan 1429
Tanta, tanta, tanta...
Makrod ma'ak..

No comments: