Friday, September 28, 2007

Dimana tingkatan "DIRI KITA"..??

Makhluk terbahagi kepada 3 tingkat:

1) Tingkatan Al-‘Ibad

Mereka yang melakukan amal ibadah dengan harapan mereka semoga dapat masuk dalam syurga Allah, berbahagia di dalamnya dan terlepas dari seksa neraka. Ataupun maksud mereka berbuat amal agar mereka selamat di dunia dan akhirat dan diselamatkan dari segala malapetaka baik di dunia mahupun di akhirat.

2) Tingkatan Al-Muridin
Mereka yang berbuat taat kepada Allah melalui ketaatan mereka terhadap ajaran-ajaran agama, tidak lain maksud mereka melainkan untuk bagaimana sampai kepada Allah, bagaimana agar terbuka segala sesuatu yang menutup hati mereka untuk sampai kepada Allah, semoga hati-hati mereka dilimpahkan rahsia-rahsia halus dan yang baik-baik oleh Allah s.w.t.


3) Tingkatan Al-‘Arifin

Hamba-hamba yang berada di dalam tingkatan ini, meskipun mereka beramal terlalu banyak, tetapi sedikit pun mereka tidak melihat bahawa apa yang mereka kerjakan itu untuk maksud-maksud di atas. Tidak terbayang di dalam hati mereka bahawa mereka beramal, tetapi hati mereka selalu tertuju bahawa Allah s.w.t yang berbuat segala sesuatu pada hakikatnya. Mereka Hakikatnya mereka tenggelam dalam tali Qadha’ Rabbul Izzati.



AKIBAT BERPEGANG KEPADA AMAL

MIN ‘ALAMAATIL I’TIMAADI ‘ALA ‘AMALI NUQSONU AR-RAJAA’ ‘INDA WUJUDI AZZALALI

“ Sebahagian tanda berpegang(manusia) pada amal ialah mereka akan berasa kurang harapannya kepada Allah ketika terjadi kesalahan”

Menurut kalam hikmah di atas, yang dimaksudkan dengan ‘tanda’ adalah buat tingkatan pertama dan yang kedua. Iaitulah menurut kacamata ilmu Tasawuf pada tingkatan pertama “Al-‘Ibaad” dan tingkatan yang kedua “Al-Muridiin” masih belum baik apabila dibandingkan dengan tingkatan yang ketiga. Sebab apabila kita masih dalam tingkatan yang pertama dan kedua maka akibatnya ialah seperti berikut :

a) Pada tingkat pertama : Apabila seseorang itu mengerjakan perbuatan maksiat seperti tidak menjalankan perintah Allah s.w.t, maka mengakibatkan kurang harapnya kepada Allah. Ini kerana dia mengharapkan bahagia di Syurga dan selamat dari azab dan siksaaan neraka. Harapannya kepada Allah kuat dan bertambah apabila dia beramal. Akan tetapi apabila tidak kuat amalnya, maka harapannya yang tadi akan menurun dan berkurang.

Cth : Seseorang berkeinginan untuk membeli kereta. Jika pada ketika dia mempunyai duit untuk membeli, dia akan berharap kereta yang dilihatnya itu akan menjadi miliknya. Akan tetapi jika pada ketika itu dia tidak ada duit ataupun tidak cukup duit, maka harapannya untuk memiliki kereta itu agak berkurang, meskipun ada sedikit harapan semoga dapat memilikinya.
Kereta itu ibarat Syurga, Duit itu ibarat amal yang difikirkan syarat untuk memiliki syurga.

b) Begitu juga pada tingkatan Al-Muridin. Dengan amal maka ia gembira. Kerana itu maka amal-ibadatnya menjadi sebab menyampaikan harapan-harapannya. Tetapi apabila ibadatnya berkurang, maka akan berkurang pula harapannya kepada Allah s.w.t. Inilah akibatnya apabila kita berpegang pada amal, tetapi tidak berpegang kepada Allah.

Adapun tingakatan ketiga ini adalah tingkatan yang mulia di sisi Allah s.w.t. Sebab apabilakita sampai pada tingkatan ini, kita akan fana dan kita akan tenggelam di dalam qadha’ dan qadar Allah.

Kita akan bersifat sama dalam pengharapan kepada Allah apabila mengerjakan ketaatan, maka tidak terlihat oleh kita bahawa itu adalah kerana daya dan kekuatan kita. Ataupun kita pernah meninggalkan ajaran-ajaran agama, namun hati kita selalu mengharapkan keridhaanNya dan takut padanya.

Kesimpulannya, untuk mencapai tingkatan ketiga ini satu-satunya jalan untuk sampai ialah dengan sifat “mujahadah” iaitu kita harus memerangi hawa nafsu kita dengan latihan-latihan seperti yang telah diatur oleh ilmu Tasawuf. Maka dengan latihan-latihan memerangi hawa nafsu dan selalu mengingati Allah kita akan sampai ke tingkatan Al-‘Arifin sebagaimana yang digambarkan tadi.

Kalam hikmah tersebut ana naqalkan dari kitab Hikam. Karangan Imam 'Athoillah As-Sakandari.

Moga entry kali ini dapat memanfaatkan bagi sekalian yang membacanya.

Apabila rindu kita kepad ilmu Allah, maka kita akan bersungguh-sungguh beramal dengan ilmu yang ada. Ulamak menaqalkan dalam hadis yang bermaksud "Barangsiapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, maka Allah akan mengajarkannya akan ilmu yang dia tidak tahu "

"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan padanya maka Allah akan memahamkannya dalam agama"

Moga kita tersenarai dalam memperjuangkan agamanya. Takbiirrr!!! Allahu Akbar!!

1 comment:

North Charleston Doors said...

Lovely post thanks for posting.