Program kuliah suboh pada pagi Sabtu, 8 Ramadhan telah diisi oleh Ustaz Anhar. Tajuk yang dipilih adalah berkenaan pengajaran dari peristiwa Perang Badar al-Kubra. Penceramah yang mempunyai latarbelakang dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang hadith telah membuat kupasan yang mendalam tentang peristiwa tersebut.
Di antara peristiwa yang dipetik untuk diulas boleh di huraikan seperti di bawah:
- Allah swt mahukan berlakunya peperangan.
Rasulullah SAW pada mulanya mendapat berita melalui Jibril a.s. tentang rombongan perdagangan Quraisy yang diketuai oleh Abu Sufian yang pulang dari Syam menuju Mekah. Lantas Baginda SAW mengumumkan kepada kaum Muslimin di Madinah tentang misi menahan dan merampas barang dagangan mereka. Apabila Abu Sufian mengetahui tentang rancangan tersebut, beliau telah mendapatkan bantuan ketenteraan dari Mekah. Kumpulan Muslimin Madinah yang asalnya hanya datang untuk menahan misi dagangan akhirnya telah ditentukan oleh Allah swt untuk bertemu dengan tentera Musyrikin. Bagi memastikan peperangan tersebut meletus, pihak Muslimin nampak kecil di pihak kaum Musyrikin dan begitulah juga sebaliknya, bala tentera Musyrikin kelihatan kecil pada pandangan kaum Muslimin sehingga menjadikan mereka tindak gentar. Maka akhirnya berlakulah pertembungan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.
Ibrah: Apa yang kita kehendaki mungkin tak sama dengan apa yang Allah swt kehendaki. Manusia hanya mampu merancang tetapi tidak semestinya apa yang dirancang tersebut akan menjadi kenyataan kerana mereka tidak mampu mengubah apa yang telah ditentukan oleh Allah swt.
- Ciri-ciri kepimpinan Rasulullah SAW yang mementingkan mesyuarat. Apabila Baginda SAW mendapat berita tentang pertembungan yang bakal berlaku dengan tentera Musyrikin Mekah, sebagai pemimpin yang mementingkan keputusan melalui mesyuarat, Baginda SAW lantas bertanya kepada para Sahabat r.anhum tentang pendapat mereka mengenai pertembungan yang bakal berlaku. Ini penting kerana keputusan yang akan ditentukan nanti mendapat sokongan padu dari segenap golongan yang terlibat. Puak Muhajirin telah diwakili oleh beberapa sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab r.anhum memberikan sokongan. Tetapi Baginda SAW juga mahukan kepastian dari pihak Ansar juga. Akhirnya Saad r.a. telah bersuara bagi pihak Ansar dengan kata-kata yang sungguh bersemangat sebagai menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Islam. Selepas itu, barulah Baginda SAW merasa lega apabila golongan Ansar yang baru menyertai Islam juga telah bersiap sedia untuk bersama dalam pertempuran.
Ibrah: Pemimpin Islam perlu memberikan perhatian yang serius terhadap perlaksanaan mesyuarat sebagai kaedah membuat keputusan yang penting. Sekiranya sesuatu keputusan mesyuarat perlu dinilai semula, mesyuarat perlu dipanggil semula untuk membincangkan perkara tersebut. Menukar keputusan mesyuarat di luar mesyuarat tidak seharusnya berlaku tanpa perbincangan semula.
- Adab memberi pandangan kepada Nabi SAW
Apabila Nabi SAW memilih sebuah lokasi sebagai tapak untuk para tentera Muslimin berkhemah, seorang Sahabat telah bertemu dengan Baginda SAW untuk berkongsi pandangannya tentang strategi peperangan. Tetapi sebelum mengeluarkan pandangannya, beliau terlebih dahulu bertanya untuk mendapatkan kepastian samada keputusan memilih lokasi tersebut adakah kerana wahyu dari Allah swt atau semata-mata pendapat Baginda SAW. Apabila telah pasti bahawa pilihan tersebut bukan hasil dari wahyu, beliau pun telah mengunjurkan supaya lokasi yang berdekatan dengan sumber air di lembah Badar dipilih sebagai lokasi strategic untuk berkhemah. Baginda SAW telah menerima pandangan tersebut lantas mengarahkan tentera Muslimin untuk berpindah ke tapak baru.
Ibrah: Adab memberi pandangan dalam agama perlu memastikan sesuatu pandangan tidak membelakangkan wahyu dari Allah SWT. Sebahagian masyarakat hari ini suka memberi pandangan tanpa ilmu yang bersandarkan wahyu ataupun menolak sesuatu hukum tanpa pengetahuan yang mendalam mengenai nas-nas agama.
- Memahami kekuatan musuh sebelum berdepan dengan mereka.
Sebelum berlakunya pertempuran, tentera Islam telah Berjaya menculik tukang masak yang ditugaskan untuk menyediakan makanan kepada tentera Musyrikin. Proses mencungkil informasi tentang kekuatan tentera musuh telah dilakukan dengan bijak iaitu dengan mengambil kira tahap pengetahuan mereka dan melakukannya tanpa menimbulkan rasa curiga. Mereka ditanya mengenai jenis dan jumlah ternakan yang disembelih pada setiap kali mereka menyediakan makanan untuk tentera Musyrikin. Jumlah unta yang disembelih setiap hari berjumlah 9 atau 10 ekor membayangkan jumlah tentera lebih kurang 1000 orang.
Ibrah: Umat Islam perlu mengetahui tentang kekuatan dan kelemahan musuh sebelum berdepan dengan mereka supaya persediaan yang mantap boleh dibuat. Dalam mencungkil maklumat sulit mengenai musuh, perlu ada kebijaksanaan bagi memastikan hasil maklumat adalah tepat. Juga dalam berurusan denagn seseorang, perlu diambilkira tahap intelektual mereka.
- Munajat kepada Allah SWT selepas melakukan perancangan rapi.
Sehingga detik-detik akhir sebelum berlakunya pertempuran, Rasulullah SAW berterusan bersungguh-sungguh bermunajat kepada Allah SWT memohon pertolongan dan supaya kemenangan diberikan kepada tentera Islam. Diriwayatkan kesungguhan Baginda SAW sehingga mengangkat tinggi kedua tangannya sehingga selendang di bahunya terjatuh lalu disambut oleh Abu Bakar as-Siddiq r.a. Dalam doa Baginda SAW yang mahsyur, Baginda SAW membayangkan terdesaknya umat Islam jika tewas dalam peperangan tersebut, maka tiadalah lagi manusia yang akan menyembah Allah swt selepas itu.
Ibrah: Manusia perlu sentiasa bermunajat kepada Allah secara bersungguh –sungguh selepas melakukan perancangan bagi memohon bantuan dari Allah. Munajat perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, bukannya secara sambil lewa.
- Bantuan Allah kepada pejuang Islam.
Sepanjang tempoh peperangan, telah turun bantuan dari Allah swt kepada tentera Islam. Di antaranya, di turunkan ketenangan kepada mereka sehingga mereka dapat tidur lena pada malam sebelum berlakunya pertempuran. Diberitakan juga, sebahagian dari mereka telah bermimpi sehingga mewajibkan mereka mandi. Bagi memudahkan mereka mandi janabah, Allah telah menurunkan hujan. Hujan yang turun juga menjadikan tanah lebih padat bagi memantapkan kaki-kaki mereka. Sewaktu pertempuran tercetus, telah turun bala tentera dari kalangan malaikat bagi meniupkan semangat juang tentera Muslim.
Ibrah: Pejuang Islam mutakhir ini sering di dalam kekurangan berbanding kekuatan tentera musuh. Jangan diperlecehkan kesungguhan mereka dalam menghadapi kekuatan musuh yang hebat kerana keikhlasan dan kesungguhan mereka mungkin melayakkan mereka mendapat bantuan dari Allah swt dan tidak mustahil kemenangan mampu dicapai.
- Janji Allah kepada umat Islam pasti tertunai.
Sejurus selepas tamatnya pertempuran, Nabi SAW telah berjalan meninjau mayat-mayat tentera musuh yang bergelimpangan. Baginda SAW telah menempelak mayat-mayat kaum kafir musyrik dengan bertanya samada mereka sudah dapat apa yang dijanjikan oleh “Tuhan-Tuhan” mereka. Sedangkan sesungguhnya umat Islam telah mendapatkan apa yang Allah swt janjikan kepada mereka. Apabila ditanya oleh Sahabat r.a. samada mereka mendengar apa yang Nabi SAW lafazkan, Baginda mengiyakannya.
Ibrah: Alam barzakh itu wujud dan peristiwa ini adalah sebahagian dari dalil kewujudannya. Maka tertolaklah pandangan mereka yang mengatakan alam barzakh dan siksa kubur tidak wujud.
Peristiwa perang Badar mengandungi sangat banyak pengajaran yang boleh diambil oleh umat Islam terutamanya di zaman kemerosotan Islam kini. Mereka perlu meneliti Sirah Nabi SAW melalui kitab-kitab sirah yang muktabar terutamanya yang bersandarkan kepada sumber-sumber yang sahih bagi mencungkil ibrah atau pengajaran yang boleh diteladani dan dijadikan landasan dalam memahami Islam dan perjuangan Islam. Whlm.
Ihsan dr : AlFurqanonline.dot.net
No comments:
Post a Comment